Kementerian cadang gantung setahun persekolahan pelajar pembuli

0
3

KUALA NERANG: Memandangkan isu buli semakin serius dan perlu dibendung segera, Kementerian Pendidikan mencadangkan agar pelajar pembuli sama ada di sekolah menengah atau rendah digantung persekolahan mereka setahun.

Datuk Seri Mahdzir Khalid.Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata tindakan tegas itu perlu dikenakan sebagai pengajaran terhadap pelajar lain melakukan perbuatan yang boleh mendatangkan kesan psikologi terhadap pelajar lain.

“Ini peringkat cadangan kementerian, namun sudah sampai masanya kita mengenakan tindakan tegas agar isu buli tidak berpanjangan.

Merasmikan Majlis Kasihi Pekebun dan Penyampaian Bantuan Projek Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) serta Laman Kebun Risda Daerah Padang Terap pada Ahad, Mahdzir berkata pelajar yang digantung tetap menduduki peperiksaan utama seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah, Pentaksiran Tingkatan 3, Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia selepas tempoh penggantungan selesai.

“Semasa tempoh penggantungan, pelajar tersebut dilibatkan dengan kerja kebajikan atau memasuki pusat pemulihan akhlak sebagai syarat diterima masuk semula ke sekolah,” katanya.

Memetik Bernama, beliau berkata pihak kementeriannya sedia mendapat maklum balas daripada semua pihak terhadap cadangan berkenaan.

“Kita faham ada pihak yang tidak setuju dan kita bersedia mendengar pandangan pihak lain sebelum keputusan muktamad dibuat,” katanya.

Sekiranya cadangan itu dipersetujui, kementerian mungkin sedia melaksanakan peraturan tersebut pada Januari tahun hadapan.

Beliau juga berkata pihaknya tidak bercadang memberhentikan terus pelajar dari sekolah demi masa depan pelajar berkenaan. – Sarawakvoice