Sunday, September 25, 2022

Kebimbangan pelaksanaan BM di Sarawak

Secara Rawak

Ketika kita hampir menutup tirai tahun 2015, Ketua Menteri telah mengumumkan sesuatu yang mengejutkan penggiat dan pencinta bahasa Malaysia di Sarawak.  Tan Sri Adenan Satem yang telah membuat lebih daripada 45 keputusan dan tindakan penting sejak menerajui kerusi penting itu hampir dua tahun, mengumumkan Sarawak akan menjadi negeri pertama yang akan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi, selain bahasa Malaysia.

“Pendirian saya kuat terhadap bahasa Inggeris telah mengguris sebahagian daripada nasionalis yang menuduh saya sebagai antinasionalis dan antipatriotik. Bagi saya ini hanya, mahu bersikap realistik,” kata Adenan pada Majlis Pelancaran Hari Perkhidmatan Awam Sarawak 2015 di Pusat Konvensyen Borneo.

“Apa yang paling teruk apabila seramai 45,000 siswazah mengganggur tidak boleh mendapat pekerjaan kerana ketidakmampuan bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris yang baik.

Saya cuba menjadi praktikal di sini kerana jika kita tidak tangani masalah ini, kita akan menjadi seperti India suatu hari nanti apabila pemegang ijazah sarjana terpaksa memandu teksi untuk menyara hidup,” kata Adenan di hadapan 7,500 penjawat awam di negeri ini.

Adakah dasar baharu kerajaan itu bakal menjejaskan kedudukan dan penggunaan bahasa Malaysia? Sudah tentu di sebalik keraguan dan kebimbangan sesetengah pihak, terutama pencinta dan aktivis bahasa, Ketua Menteri pasti mempunyai justifikasi tersendiri, mengapa terdapat perubahan drastik dari segi dasar bahasa di negeri ini.

Menjadi harapan kita, jangan sampai kedudukan dan penggunaan bahasa Malaysia dipinggirkan. Tidak ada sesiapa pun yang menafikan kepentingan bahasa Inggeris, sama seperti tidak ada yang menafikan bahawa bahasa Inggeris bukannya satu-satunya bahasa yang menjamin kejayaan. Korea, Jepun, China, Perancis, Jerman dan Taiwan ialah contoh terbaik.

Pelbagai pihak menyatakan kebimbangan mereka terhadap langkah kerajaan negeri itu. Persatuan Karyawan Sarawak (PEKASA), sebagaimana dilaporkan oleh sebuah akhbar nasional  meminta Ketua Menteri supaya mengkaji semula tindakan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi, selain bahasa Melayu dalam urusan pentadbiran di negeri itu.

Sebenarnya, sejak zaman pemerintahan Brooke lagi (1841-1941), bahasa Melayu telah mendapat tempat dalam urusan pentadbiran. Langkah tersebut merupakan titik tolak dari segi pengiktirafan kedudukan bahasa Melayu.

Malah, bahasa Melayu telah digunakan dalam urusan rasmi kerajaan di Sarawak sejak negeri ini di bawah pemerintahan Brunei. Namun, penggunaannya terjejas sedikit ketika pemerintahan Jepun.

Pada zaman moden, penubuhan Kerajaan Campuran pada 1971 telah menggalakkan dan meluaskan penggunaan bahasa Malaysia di Sarawak. Dewan Undangan Negeri meluluskan usul penggunaan bahasa Melayu, selain bahasa Inggeris, sebagai bahasa rasmi dalam urusan pentadbiran pada tahun 1974.

Perubahan terhadap dasar bahasa bermula dari tarikh tersebut, dan sejarah tersebut telah banyak mempengaruhi corak dan perkembangan bahasa Melayu di Sarawak.

Bagaimanapun, 17 Mei 1985 merupakan tarikh keramat dan bersejarah apabila bahasa Malaysia diisytiharkan sebagai bahasa rasmi tunggal dalam urusan rasmi – tindakan yang dianggap bersesuaian dengan aspirasi sebuah negara bangsa yang perlu punya alat komunikasi berkesan untuk menyatukan rakyat, selain sebagai tanda jati diri.

Penerimaan ini dengan jelas membuktikan hasrat, matlamat, dan pendirian kerajaan terhadap kedudukan dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.

Sikap berhati-hati, bertolak ansur dan bertimbang rasa dengan mengambil kira sensitiviti dan sentimen semua pihak telah menyebabkan bahasa Melayu agak lewat diterima sebagai bahasa rasmi tunggal. Pelaksanaan yang tergesa-gesa, tanpa persediaan yang mencukupi dari segi prasana dan psikologi dibimbangi akan mengundang padah.

Banyak halangan yang terpaksa diharungi sebelum bahasa itu dinobatkan sebagai bahasa rasmi tunggal, terutama apabila parti pembangkang cuba menggagalkan pelaksanaannya.

Keadaan ini berpunca daripada keraguan pihak-pihak tertentu tentang kemampuan bahasa itu sebagai bahasa rasmi.  Keraguan ini tidaklah menghairnankan kerana berdasarkan kajian sosiolingiustik pada 1983 status penggunaan bahasa Melayu daam urusan rasmi jabatan kerajaan persekutuan dan negeri di Sarawak adalah hanya sekitar 25 peratus.

Jadi, mereka kurang yakin bahawa rakyat Sarawak, terutama kakitangan sektor awam yang rata-rata terdidik dalam bahasa Inggeris mampu melaksanakan dasar baharu yang dianggap ‘membebankan itu’. Hambatan psikologi itu, bagaimanapun, dapat dikikiskan melalui pelbagai strategi berkesan Kerajaan Negeri dan DBP.

Bahasa yang paling banyak digunakan dalam urusan rasmi sebelum tahun 1985 ialah bahasa Inggeris. Meskipun demikian memang terdapat pejabat yang menggunakan dasar dwibahasa, iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.

Status penggunaan bahasa Malaysia di Sarawak pada hari ini dapat dikatakan membanggakan. Pelbagai langkah konkrit diambil kerajaan Sarawak, termasuk menyediakan peruntukan besar untuk program bahasa Malaysia bagi melatih  penjawat awam membuahkan hasil.

Namun demikian, ketika kita berbangga dengan peningkatan penggunaan bahasa Malaysia di sektor awam, penggunaannya di sektor swasta belum lagi memuaskan meskipun pelbagai langkah dan kempen dijalankan untuk mengubah keadaan tersebut.

Hanya perubahan sikap dalam kalangan mereka di sektor swasta akan dapat mengubah keadaan. Adakah mereka tidak mempunyai rasa bangga terhadap bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara? Adakah dasar baharu kerajaan negeri bakal memburukkan lagi keadaan?  – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru