Friday, October 7, 2022

Polis bertindak tegas  elak pertembungan Baju Merah, Baju Kuning

Secara Rawak

BANGKOK:  Polis memberi amaran akan mengambil tindakan lebih tegas untuk memelihara ketenteraman awam dan memastikan tidak berlaku ‘pertembungan’ antara penyokong Baju Kuning dan Baju Merah.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, ketika ini, polis mengamalkan pendekatan sederhana dalam menangani isu penganjuran perhimpunan dan perarakan haram oleh pihak tertentu di Malaysia.

“Sekarang kita ambil tindakan secara sederhana, kita tidak mahu mencetuskan keadaan tidak selesa tetapi jikalau perkara ini berterusan kita akan mengambil tindakan tegas,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Noor Rashid yang berada di Bangkok untuk menghadiri sambutan Hari Polis Diraja Thai berkata demikian ketika terdapatnya kebimbangan kemungkinan ‘pertembungan’ antara penyokong kedua-dua kumpulan itu.‎

Dalam beberapa insiden yang berlaku baru-baru ini, kedua-kedua pihak telah bertembung menyebabkan berlakunya kekecohan.

Noor Rashid berkata, pihak polis sedang menjalankan siasatan terhadap kekecohan yang berlaku akibat pertembungan di antara penyokong kedua-dua pihak baru-baru ini.

Polis, katanya, tidak dimaklumkan tentang perarakan yang menyebabkan kekecohan itu, sebagaimana yang berlaku di Teluk Intan dan Sabak Bernam.

“Siasatan sedang kita jalankan dan kita akan pastikan siasatan dilengkapkan dalam masa terdekat. Kita akan pastikan mereka yang enggan mengikut peraturan dan undang-undang, dikenakan tindakan yang sewajarnya,” katanya.

Menurut Noor Rashid, arahan telah pun dikeluarkan kepada ketua-ketua polis negeri untuk mengatur gerak pegawai dan anggota mereka termasuk daripada Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) untuk memastikan tidak berlaku sebarang insiden.

Beliau meminta mana-mana pihak yang mahu mengadakan perhimpunan atau perarakan supaya mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan di bawah Akta Perhimpunan Aman.

“Jikalau Kuning atau Merah mahu buat perhimpunan, mereka perlu maklum kepada polis supaya (polis) boleh rancang tindakan awal bagi memastikan pertembungan yang berlaku sebelum ini tidak berlaku pada masa akan datang,” kata beliau.

Beliau berkata, kedua-dua pihak mempunyai tanggungjawab untuk mematuhi undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan bagi memelihara ketenteraman awam.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini polis belum menerima sebarang permohonan untuk menganjurkan perhimpunan atau perarakan daripada mana-mana pihak, Kuning atau Merah.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru