Wednesday, August 17, 2022

Khairy: UMNO tidak harus bergantung kepada perpecahan pembangkang

Secara Rawak

KOTA BHARU: UMNO Tidak harus bergantung kepada perpecahan dalam kalangan parti pembangkang untuk memberi keyakinan kepadanya memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Sebaliknya, kata Ketua  Pergerakan Pemuda Khairy Jamaluddin, UMNO perlu menang dengan kekuatan sendiri.

Justeru, beliau menggesa anggota UMNO di setiap peringkat supaya bekerja keras dan melakukan persediaan untuk berdepan pembangkang secara satu lawan satu.

Kini,  PAS tidak bersama pakatan pembangkang lain yang terdiri daripada DAP, PKR, Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sehingga Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa agar semua parti pembangkan dapat bersatu bagi menumbangkan Barisan Nasional.

Rahsia BN memenangi pilihan raya pada masa lalu dan berjaya mengekalkan kuasa di Putrajaya menurut bekas Perdana Menteri adalah disebabkan parti komponennya bersatu dari segi gerakan, manifesto, lambang dan slogan.

“Dalam simulasi yang kita lakukan sekarang ini, kita akan melihat kepada tahap sokongan terhadap UMNO apabila semua undi yang menentang kita itu dicampur. Kalau kita masih dapat kemenangan kita berada bukan dalam keadaan selesa tapi kuat.

“Tapi kalau kita dapati kita masih bergantung kepada perpecahan (pembangkang), kita berada dalam keadaan yang tidak berapa selesa. Hari ini mungkin mereka berpecah tapi esok mereka mungkin bersatu kembali,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menutup Konvensyen UMNO Kelantan di sini semalam.

Mengenai peluang golongan muda dan profesional untuk berada dalam UMNO, Khairy, yang juga Menteri Belia dan Sukan, berkata parti itu sentiasa membuka pintu seluas-luasnya kepada golongan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, golongan itu perlu bekerja keras dan menunjukkan kesungguhan yang tinggi untuk diterima bukan sahaja di peringkat pucuk pimpinan malah akar umbi serta rakyat.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, UMNO perlu bangkit menentang pembangkang memandangkan banyak parti lain yang bersaing untuk mendapatkan sokongan pengundi Melayu dan cuba memenuhi aspirasinya, iaitu PAS, PKR, PPBM.

Untuk itu, Mustapa mengingatkan UMNO supaya bekerja keras untuk menambat semula hati rakyat.

“Justeru, kita perlu bekerja keras untuk menarik kembali sokongan rakyat kepada UMNO dengan terus mempergiatkan program penerangan,” katanya sambil menambah, kebanyakan rakyat sekarang disuap dengan maklumat tidak tepat untuk mencalar imej UMNO.

Beliau juga mengingatkan kewujudan beberapa parti serpihan tidak harus dipandang mudah.

Amanah merupakan parti serpihan PAS., manakala PPBM ialah parti serpihan UMNO.  Amanah dipimpin oleh  bekas Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu, manakala Pengerusi PPBM ialah Tun Dr Mahathir Mohamad, dan Presiden ialah bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru