Saturday, August 20, 2022

Hishammuddin: Jangan anggap mudah ancaman parti Mahathir

Secara Rawak

KUALA NERUS: Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengingatkan UMNO Terengganu supaya tidak terus berada dalam keadaan selesa,sebaliknya perlu ambil berat tentang ancaman Parti pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata, kemunculan PPBM sebenarnya tidak mendapat sokongan rakyat, namun semua kepemimpinan parti diminta supaya mengukuhkan kesatuan dengan melakukan gerak kerja untuk memastikan Barisan Nasional terus diberi mandat untuk memerintah selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.

14716322_10154243149559355_8017317240675928035_n

Beliau mengakui jumlah ahli pimpinan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu kecil, termasuk di Terengganu, namun jika tidak dikawal ia akan menggugat UMNO dan Barisan Nasional.

Menurut Hishammuddin, dalam keadaan dunia tanpa sempadan, pergerakan parti terbabit mudah tersebar menerusi media sosial, sekali gus menyebabkan peningkatan jumlah ahlinya.

“Jadi, jangan ambil mudah perkara ini, sekarang ini dunia tanpa sempadan, maka ia menjadi lebih mudah diviralkan melalui media sosial,” katanya.

Beliau berkata anggota UMNO perlu menjadikan keperitan untuk mengambil alih Terengganu daripada PAS suatu ketika dulu (1999 hingga 2004) sebagai iktibar.

Katanya, sokongan terhadap perjuangan UMNO juga perlulah sentiasa berkekalan dan berterusan dan bukannya berubah apabila individu yang diharapkan tidak tersenarai sebagai calon pada pilihan raya umum ke-14 nanti.

“Kita perlu terus pastikan kelebihan yang ada pada kita, kesatuan yang meletakkan kepentingan dalam membela nasib rakyat, mendekati rakyat,” katanya.

Beliau  berkata demikian ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Kuala Nerus, di sini semalam.

Beliau turut menasihati anggota UMNO supaya kekal bersatu dan mengelak daripada berpecah-belah sesama sendiri yang akan hanya merugikan diri dan parti. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru