Sunday, September 25, 2022

Adenan: Selepas setengah abad Sarawak masih ketinggalan

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem berkata, bidang perindustrian dan kemudahan di luar bandar merupakan dua perkara utama yang akan terus diberi tumpuan bagi memastikan rakyat di negeri itu tidak ketinggalan.

screen-shot-2016-10-16-at-8-51-56-am

Berbanding negeri-negeri di Semenanjung, beliau berkata, masih terdapat kekurangan kemudahan di Sarawak untuk dinikmati seluruh penduduknya.

“Jika berbanding Sarawak dengan Johor dan Pahang misalnya, di sana semuanya mencukupi, ada jalan raya, elektrik, airnya cukup. Jika di Sarawak, masih ada sekolah yang muridnya berjalan dengan berkaki ayam.

“Selepas lebih setengah abad kita masih ketinggalan. Jadi saya mahu tumpu pada pembangunan luar bandar, (sediakan) sekolah baharu, jambatan baharu, jalan raya baharu. Kita menyediakan peruntukan untuk pembangunan luar bandar supaya kita tidak ketinggalan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi ‘Santai Dengan Tok Nan’, dikendalikan moderator Tan Sri Mohd Effendi Norwawi bersempena Program Lan Berambeh Anak Sarawak di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini hari ini.

Adenan ditanya mengenai visinya berhubung masa depan Sarawak bagi tempoh lima tahun akan datang selepas Barisan Nasional (BN) mendapat kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang lepas.

Ketua menteri itu berkata, tumpuan dalam bidang perindustrian pula akan menarik lebih banyak pelaburan asing ke negeri itu.

Mengenai faktor yang mendorong kemenangan besar BN dalam PRN itu, Adenan berkata, kemenangan itu dibantu keyakinan penduduk terhadap BN yang terbukti membela nasib rakyat Sarawak.

Ditanya mengenai harapan beliau terhadap penduduk Sarawak supaya menjadi individu yang dapat membanggakan negeri itu, beliau mahu mereka sentiasa berfikiran positif dan bekerja keras untuk mencapai impian masing-masing.

Beliau berkata, setiap kejayaan harus bermula daripada individu itu sendiri untuk berjaya dalam kehidupan atau kerjaya. “Kerja keras, itu jawapannya,” katanya.

Adenan seterusnya berkata, masyarakat tidak perlu menggunakan gelaran penuh namanya seperti ‘Yang Amat Berhormat dan Datuk Patinggi’, sebaliknya cukup dipanggil CM, singkatan bagi ‘Chief Minister’ atau ketua menteri.

Program Lan Berambeh Anak Sarawak yang memasuki edisi ketujuh penganjurannya menarik kehadiran hampir 10,000 orang termasuk anak Sarawak dan mahasiswa berasal dari negeri itu.

Program anjuran Persatuan Anak Sarawak Semenanjung itu bertujuan mengumpulkan anak-anak Sarawak bagi mengeratkan tali silaturahim selain beramah mesra bersama pemimpin yang berasal dari Bumi Kenyalang.

Terdahulu pada sebelah pagi, berlangsung sesi Randau Bersama Menteri bagi membincangkan mengenai pelbagai isu melibatkan rakyat Sarawak selain perasmian Ekspo Kerjaya sebelum diakhiri jamuan malam, sebentar tadi. – Bernama

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru