Tuesday, June 28, 2022

Tahniah, ini baru betul, hanya tinggal 5 peratus polis, staf IPD Sibu obes

Secara Rawak

SIBU: Idea Ketua Polis Daerah Sibu ACP Saiful Bahri Abdullah antaranya “menolak landrover” bertujuan mengekalkan tahap kesihatan pasukan polis membantu mengecutkan jumlah polis berbadan obes di Daerah Sibu.

Aktiviti serta kegiatan lasak lain yang turut membantu mewujudkan kerjasama berpasukan berjaya menghasilkan, hanya tinggal lima peratus daripada 600 anggota polis dan kakitangan awam di IPD Sibu mempunyai masalah obesiti.

Usaha keseluruhan ini diambil sesuai dengan Program Trim and Fit yang dilancarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini yang diperluas ke seluruh negara semenjak Jun lalu sebagai menyahut cabaran menurunkan berat badan bagi menjamin kesihatan warga PRDM.

Sebelum ini, timbul isu berkaitan meningkatnya jumlah anggota pasukan keselamatan dan staf berbadan obes.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Superitenden Martin Koo berkata memang terdapat anggota polis serta staf kakitangan awam yang bertugas di IPD Sibu berbadan obes, tetapi mereka sentiasa diberi galakan agar menurunkan berat badan.

“Kakitangan diberi galakan termasuk yang tidak mempunyai masalah berat badan supaya sentiasa menjaga kesihatan,” kata Martin pada sidang media selepas menerima lima unit alat penimbang daripada Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Lanang di Bilik Gerakan IPD Sibu pada Rabu.

Menurut Martin, pihaknya menubuhkan lapan kumpulan dalam kalangan warga polis di Sibu bagi menjalankan pelbagai aktiviti fizikal setiap minggu.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuk rentas hutan, tarik tali, larian baton (2.4 km) dan menolak kenderaan.

“Aktiviti  fizikal menolak Landrover sejauh 50 meter ke hadapan dan ke belakang merupakan antara aktiviti paling lasak.” kata Martin. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru