Pemimpin, rakyat  perlekeh bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi

Dr Awang Azman Awang Pawi
Dr Awang Azman Awang Pawi

Atas nama globalisasi dan tuntutan ekonomi  semasa, maka bahasa kebangsaan dilihat tidak lebih sebagai bahasa selingan  awal pada awal mesyuarat sebelum  diambil alih oleh bahasa Inggeris di sesetengah organisasi di negara ini. Ada pula dengan selamba mempercampur-adukkan  bahasa Inggeris dengan Melayu, seolah-olah  tidak ada ungkapan yang sesuai  atau tidak yakin penggunaannya dalam bahasa kebangsaa.  Yang lebih tragis bahasa kebangsaan langsung tidak digunakan   dalam mesyuarat dan acara rasmi meskipun tidak ada orang asing dalam majlis tersebut.

Mereka yang cuba menegur dan menasihat dalam isu bahasa sering kali dianggap ketinggalan zaman, berfikiran sempit, nasionalis yang sempit, dan tidak berjejak dalam dunia nyata. Ketika Timbalan Perdana Menteri  Datuk Seri Zahid Hamidi menyampaikan ucapan dalam bahasa Inggeris dalam urusan rasmi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di luar negara terdapat suara sumbang yang mengkritik tahap kefasihannya, meskipun mesej yang hendak disampaikan oleh beliau jelas dan dapat difahami dengan baik oleh khalayaknya.

Namun begitu, sikap  ini pula tidak terpancar apabila ramai dalam kalangan rakyat sendiri tidak fasih berbahasa kebangsaan di negara mereka sendiri. Lihatlah kefasihan tokoh-tokoh masyarakat apabila diwawancara oleh media seperti ASTRO, TV3 dan TV1. Kadangkala timbul kelucuan dan rasa sedih apabila negara sudah berpuluh tahun merdeka, namun ini tidak terpancar dalam mutu bahasa mereka. Kalaulah mereka berada di negara seperti Perancis atau Jepun sudah lama mereka ditolak rakyat dalam pilihan raya umum.

Begitu juga di Dewan Rakyat dan Dewan Undangan  Dewan Undangan Negeri.  Nilai kefasihan bahasa  kebangsaan mereka  tidak mencerminkan tempoh sekian lama mereka tinggal di negara ini. Adakah mereka sendiri sedar atau tidak tahu akan masalah yang dialami mereka sebenarnya serius dalam membentuk sebuah negara bangsa? Malah, pernah seorang wakil rakyat di Dewan Rakyat  mendesak agar menggunakan bahasa Inggeris di Dewan Rakyat, namun usul ini ditolak oleh Speakar Dewan Rakyat.

Kadangkala tindak-tanduk seumpama ini mencerminkan hati budi pemikiran rakyat Malaysia. Sikap berlebihan ini tanpa bertanya kepada diri sendiri mereka,  adakah tindakan ini berlaku juga  di negara seperti di Korea, Jerman, Jepun, Perancis atau negara maju yang lain?   Adakah mungkin rakyat di negara-negara tersebut tergamak membuat usul sedemikian rupa?

Contohilah orang  Perancis mencintai bahasa mereka di segenap lapangan termasuk sains dan teknologi. Negara Perancis bukanlah negara yang terlalu besar, iaitu hanya mempunyai  sekitar 66 juta penduduk. Namun bagaimanakah mereka boleh  menjadikan bahasa Perancis sebagai bahasa sains dan teknologi?  Bagaimana Perancis boleh menjadi negara maju dengan bahasa kebangsaan mereka?

Bagaimanakah pula Perancis berjaya membentuk rakyatnya  mencintai bahasa kebangsaan?  Sedangkan Perancis mempunyai ramai imigran dari pelbagai etnik dan negara asing lain. Mengapakah imigran dari negara asing lain  yang kemudian diterima menjadi rakyat Perancis terus menghormati dan patuh  terhadap  penggunaan bahasa Perancis sebagai bahasa rasmi negara?

Sewaktu persidangan di luar negara, penulis menemui seorang rakyat Singapura yang menjadi warga negara Perancis. Beliau mempelajari bahasa Perancis bersungguh-sungguh dan mengambil pelbagai langkah untuk menguasai bahasa tersebut. Beliau  menyatakan  kita perlu bersikap dan menjunjung bahawa ‘di mana langit di pijak, di situlah langit dijunjung”.  

Manusia Antarabangsa

Sesungguhnya untuk menghasilkan ‘manusia antarabangsa’  yang fasih berbahasa Inggeris  perlu  diadakan kursus strategik untuk golongan ini. Golongan ini termasuklah golongan tadbir dan diplomatik yang bertugas di negara asing khususnya berbahasa Inggeris. Mereka perlu  berbahasa Inggeris berkelas dunia.  Tentulah  mereka yang bertugas di Korea Selatan atau Jepun  memerlukan kefasihan berbahasa Korea atau Jepun pula.

Di Sarawak misalnya, kefasihan dalam bahasa  dan budaya Penan amat diperlukan untuk memahami akar umbi pemikiran  dan permasalahan mereka.  Justeru, golongan antropologis dan sosiologis lebih diperlukan  untuk memahami  permasalahan mereka sebenar.  Tentulah bahasa Melayu menjadi bahasa penghubung sekiranya para pentadbir awam tidak menguasai bahasa Penan.  

Komunikasi masyarakat Melanau dengan etnik Bidayuh pula lazimnya menggunakan bahasa Melayu sejak lama dahulu.  Hal ini menunjukkan kepentingan dan keperluan  berbahasa bergantung kepada situasi dan  latar belakang persekitaran masyarakat itu sendiri.

Dengan kata lain, keutamaan dalam penguasaan bahasa perlulah sesuai dengan tempat dan situasi.  Ketidakfasihan bahasa Inggeris dalam kalangan menteri dan penjawat awam adalah sesuatu yang mendukacitakan khususnya dalam urusan dengan negara asing yang mempunyai bahasa pengantar dalam bahasa Inggeris.  Namun  lebih mendukacitakan lagi dan menjadi sebuah tragedi intelektual negara sekiranya  mereka tidak fasih  berbahasa Melayu di negara mereka sendiri.

Dalam merealisasikan cita-cita membangunkan negara, jangan pula  terperangkap dalam situasi ‘menang sorak, kampung tergadai’  dan  hindarilah situasi   ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’ dalam impiam hendak menjadi negara maju.

Dalam soal ini sikap dan pendirian negara  seperti Thailand, Vietnam, Indonesia, Jepun, Perancis dan  Korea Selatan dapatlah dijadikan cermin dalam mengejar kemajuan negara. Adakah cermin tersebut tidak berguna? – Sarawakvoice