Friday, August 12, 2022

Ezam mengaku mahu ikut Mahathir, Muyhiddin

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Bekas Senator, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor mengakui menyertai PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia).

Ezam mengakui telah menyerah borang keahlian kepada Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

“Ya benar saya serah borang ahli parti kepada Tan Sri Muhyiddin pagi semalam.

“Sehari sebelum itu saya telah berjumpa Tun Dr Mahathir. Beliau telah menyakinkan saya perjuangan melawan rasuah lebih berkesan melalui platform politik,” katanya  dalam jawapan ringkas menerusi whatsapp pada Khamis kepada bnbbc.

Menurut Ezam lagi hasratnya keluar UMNO baru-baru ini adalah demi memperjuangkan gejala rasuah yang semakin berleluasa menerusi sebuah badan NGO namun ia dilihat tidak begitu memberi impak yang besar.

“Sejak isytihar keluar UMNO 1 Muharam lalu ramai yang juga menggesa saya sertai parti politik. Asalnya saya merancang hanya tumpu perjuangan melawan rasuah menerusi hisbah centre sebuah badan ngo,” katanya lagi.

Sebelum ini menurut sumber, PPBM masih belum membuat keputusan berhubung perkara tersebut memandangkan terdapat ketakpuashatian dalam kalangan pimpinan PPBM kerana Ezam sebelum ini lantang menentang Dr Mahathir semasa era reformasi.

Ia berikutan Ezam disifatkan sebagai “parasit” dan kemasukkannya mungkin hanya merugikan parti serpihan UMNO itu menyebabkan mereka perlu membuat pertimbangan sama ada mahu menerimanya atau tidak.

“Ezam ini umpama parasit, kita pun tahu dia lompat sana sini. Kalau masuk PPBM pun belum tentu pimpinan dan akar umbi dapat menerimanya,” kata sumber dalam parti itu.

Turut difahamkan  mengikut portal itu, pimpinan PPBM akan bermesyuarat hari ini bagi membincangkan permohonan Ezam dan akan membuat keputusan sama ada menerima atau menolak.

Pada 2 Oktober lalu, Ezam mengumumkan keluar daripada UMNO atas alasan mahu mempertahankan prinsipnya.

Beliau berkata, UMNO dilihat tidak serius dalam perjuangan menentang rasuah apabila Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang diperjuangkannya tidak dimansuhkan. ”

OSA sebaliknya disalahgunakan ke atas laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dalam kes membabitkan syarikat pelaburan negara 1MDB,” katanya di dalam akaun Facebook peribadinya.

Ezam pernah menentang pentadbiran Dr Mahathir sejak era reformasi pada 1998 selepas bosnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat sebagai timbalan perdana menteri dan kemudiannya berakhir disumbat dalam penjara oleh bekas perdana menteri itu.

Ezam pernah dilantik sebagai anggota Dewan Negara pada Mei 2010 dan beliau diberikan jawatan Pengarah Komunikasi Kementerian Kewangan pada 2014 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru