Saturday, December 3, 2022

Bahaya politik ampu dan bodek di Sarawak

Secara Rawak

Kini  sudah terdapat ura-ura orang sekian-sekian bakal menjadi calon kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Maka, ramailah yang memuji “calon” berkenaan, antaranya beliaulah yang paling layak untuk mengganti wakil rakyat sedia ada.

Lalu, seorang teman dalam kumpulan Whatsapp berkata, “politik ampu”.

Mengampu atau membodek sudah menjadi sebahagian daripada amalan kita, termasuk dalam politik dan di organisasi tempat bekerja.

Politik tanpa amalan mengampu bagai tidak sah. Angkat-mengangkat seolah-olah sudah membudaya dalam politik, termasuk di Sarawak. Amalan ini sudah mencengkam begitu kuat ke dalam sistem politik kita sehingga begitu sukar untuk dikikis. Amalan ini telah berlaku sejak sekian lama.

Dalam budaya politik Melayu dan rantau ini, feudalisme begitu kuat mempengaruhi pemain atau pelaku politik.

Dari pemimpin cawangan hinggalah ketua bahagian, dan seterusnya menteri kanan, mereka sedar bahawa jika hendak hidup dalam politik, mereka bukan sahaja perlu menjaga hati pemimpin atasan, tetapi perlu pandai membodek.

Beritahu saya, berapa orang pemimpin politik yang tidak pandai membodek?

Mereka tahu bahawa tidak ada ruginya jika mengangkat pemimpin atasan. Mereka tahu siapa yang perlu dibodek, bagaimana membodek, dan bila mereka perlu membodek. Sesetengah ahli politik sedar bahawa untuk mendapat tempat di hati pemimpin kanan politik, mereka bukan sahaja perlu bergantung kepada kelayakan, pengalaman atau jawatan.

Yang tidak kurang pentingnya, mereka perlu bijak mengambil hati pemimpin berkenaan, termasuk dengan membodek.

Lagi tinggi pangkat pemimpin politik berkenaan, lagi penting dan perlu baginya untuk membodek. Mereka yang membodek ini mempunyai agenda atau niat tertentu ketika membodek. Saya kadangkala hairan, bagaimana pemimpin seperti itu tidak berasa malu langsung.

Mereka yang mengamalkan budaya membodek untuk ‘hidup’ dalam politik sebenarnya sanggup menggadaikan prinsip mereka.

Mereka rela melutut, mencium tangan, dan melakukan apa-apa sahaja asalkan orang yang dibodek senang hati dan hajat mereka dipenuhi. Bagi mereka, persetaankan dengan maruah dan digniti atau prinsip.

Membodek dilakukan dengan pelbagai tujuan, sama ada untuk mendapat gelaran, jawatan, dinaikkan pangkat, dikekalkan dalam jawatan, mendapat projek atau untuk sentiasa berada di dalam buku baik pemimpin itu.

Kita tahu bahawa sebahagian pemimpin tinggi atau elit memang suka dibodek. Beliau suka mendengar yang baik-baik tentang dirinya. Dia mahu dipuji, dipuja dan disanjung oleh ahli dan pemimpin parti di bawah.

Pemimpin berkenaan akan kembang hidungnya jika mendengar pujian meskipun pujian itu adalah melampau dan berlebih-lebihan. Lagi tinggi lambungan orang di sekitarnya, lagi puas dan besarlah hidung pemimpin berkenaan.

Pemimpin jenis ini akan semakin ego dan besar kepalanya dengan pujian dan sanjungan orang di sekitarnya. Pemimpin berkenaan menganggap dirinya serba sempurna dan tidak mempunyai sebarang kecacatan.

Mengikut pemerhatian saya, banyak pemimpin dunia, termasuk di rantau ini yang mabuk dalam pujian dan sanjungan. Semakin berkuasa dan berpengaruh seseorang pemimpin itu, maka semakin besarlah keinginannya untuk mendengar orang di sekelilingnya memuji beliau.

Mereka yang menyatakan kelemahan dan kekurangannya dianggapnya mempuyai agenda peribadi dan berniat jahat.

Pemimpin berkenaan menyifatkan mereka yang berbuat demikian, tidak mengenang budi, berfikiran cetek dan tidak jujur. Dia sama sekali tidak mahu dikritik atau kelemahannya ditelanjangi.

Kritikan menyebabkan dia mudah melenting, matanya terbeliak, dan suaranya dinaikkan. Aha, kita perlu berwaspada dengan pemimpin yang sentiasa mahu dipuji dan dilambung.

Anda tentu masih ingat akan kisah maharaja yang menerima pujian orang kanan dan di sekitarnya tentang pakaiannya.

Pakaian maharaja itu dikatakan begitu cantik, menarik dan sesuai sehinggalah seorang kanak-kanak memberitahu baginda bahawa, maharaja berkenaan sebenarnya adalah telanjang bulat.

Inilah akibatnya jika pemimpin suka dipuji dan orang di sekitar pemimpin suka memuji. Kebenaran akan diselubungi oleh kepalsuan.

Semua orang bersikap hipokrit dan takut memberitahu realiti. Siapakah yang perlu dipersalahkan dalam kes sedemikian? Adakah pemimpin yang suka diampu atau mereka yang suka mengampu? Kedua-duanya memikul beban kesalahan.

Kita tentu pernah mendengar bagaimana dalam pilihan raya 1999 dahulu, sesetengah pemimpin di peringkat cawangan memberitahu calon bahawa segalanya baik di peringkat akar umbi menjelang pilihan raya. Tahu apa yang berlaku pada hari pengiraan undi?

Pemimpin berkenaan sama ada kalah atau menang dengan kurang daripada seratus undi.

Adakah kita mahu kejadian seperti ini menimpa kita? Atau kita perlu diberitahu sesuatu yang benar? Pemimpin yang baik harus sedar bahawa pujian yang melampau tidak baik untuk dirinya dan kerjaya politiknya. Pemimpin yang baik perlu sedar bahawa dirinya bukan serba sempurna. Dia perlu mempunyai telinga dan kulit tebal untuk menerima realiti.

Dia perlu sedia dikritik dan mendengar kelemahannya, dan bukannya asyik mahu dipuji.

Dia perlu berwaspada terhadap mereka yang asyik memuji kebaikan, kelebihan dan keunikannya, baik dari segi idea, dasar atau rancangan yang dilaksanakannya. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru