Lima IPT latih pelapis pemimpin di pedalaman Sarawak

0
4

KABONG: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bersama empat Institut Pengajian Tinggi (IPT) tempatan bertindak menghantar ikon siswa masing-masing ke pedalaman untuk melatih siswa dan siswi sebagai aset pelapis kepimpimpinan masa depan.

Bergerak di bawah Program Ikon Siswa Kenyalang (ISK), program ini turut disertai UiTM, UniTAR, dan Universiti Swinburne dan Politeknik Kuching.

Seramai 32 ikon siswa terlibat dalam program berkenaan yang dianjurkan oleh Biro Pendidikan Petra Jaya Kuching.

Kawasan Kampung Batang Maro Kabong telah dipilih sebagai lokasi terakhir “berambeh ilmu” untuk siswa-siswi berkenaan bagi tempoh tiga hari.

Setiausaha Biro Pendidikan Petra Jaya, Abdur Rahman Abdul Rahim, merangkap Pengarah Projek memberitahu program berkenaan bermula sejak 3 September lalu yang bermula di Bau dan menjadikan kawasan Kabong sebagai lokasi untuk melabuh tirai program.

“Dato Sri Fadillah Yusof, Ahli Parlimen P.194 Petra Jaya dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazzrudin Abd Rahman adalah penaung kepada program ini.

“Program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta tentang suasana sebenar kawasan pedalaman dan bagaimana pemimipin boleh melaksanakan tugas dalam keadaan serba kekurangan.

“Pihak kami mahu pelapis kepada kepimpinan negara melihat sendiri cabaran yang dihadapi pemimpin dan kami mahu membentuk mereka sebagai pemimpin yang tabah berdepan pelbagai perkara suatu hari nanti,” ujarnya.

Abdur Rahman seterusnya merakamkan berbanyak terima kasih atas kerjasama semua pihak penduduk kampung yang disinggahi sepanjang berlangsung program.