Hanya 1.3 peratus lagi bagi S’wak capai sasaran miliki 90 peratus guru tempatan menjelang 2018

0
6

KUCHING: Sasaran Sarawak menempatkan 90 peratus guru tempatan mengajar di negeri ini menjelang 2018 bergerak pada landasan yang betul kerana rekod tahun ini sudah menunjukkan guru anak tempatan ialah 37,177 orang atau 88.7 peratus.

Sementara, guru dari negeri luar yang berkhidmat di Sarawak ialah 4,738 bersamaan 11.3 peratus.

Ini menunjukkan hanya 1.3 peratus lagi bagi Sarawak mencapai hasrat nisbah 90:10 tersebut.

“Hasrat kerajaan negeri mencapai jumlah 90 peratus guru tempatan yang mengajar di negeri ini setakat ini hampir mencapai sasaran biarpun ia disasarkan menjelang 2018,” kata Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Fatimah Abdullah.

Fatimah bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan taklimat dan sesi dialog berkaitan penempatan guru melalui Laporan 90:10 di bilik mesyuarat utama, kementerian berkenaan di Baitulmakmur pada Selasa.

Fatimah menganggap Pelan Tindakan Untuk Mencapai Nisbah 90 Guru Sarawak dan Nisbah 10 Guru Semenanjung/ Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan dilihat bergerak pada landasan terbaik.

Kebanyakan guru dari negeri lain yang berkhidmat mengajar di Sarawak pada masa ini datang dari Kelantan. – Sarawakvoice