Pihak berkuasa tutup Facebook Jamal Baju Merah

0
5

KUALA LUMPUR: Pemimpin kumpulan Baju Merah  yang mempunyai perwatakan berwarna-warni, Datuk Jamal Yunos  berkata, pihak berkuasa telah menutup akaun Facebooknya.

Tindakan  itu  dipercayai diambil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia susulan amarannya tentang kemungkinan tercetus kejadian 13  Mei meskipun sebelum ini beliau mendakwa akaun itu adalah palsu, dan bukan miliknya.

Peristiwa 13 Mei 1969 telah menyaksikan pertumpahan darah berlaku apabila berlaku rusuhan kaum di Kuala Lumpur.

“Akaun FB saya telah Di tutup Oleh mcmc. Tetapi saya masih berAlam Maya Di sini,”  kata Jamal melalui Twitter @datojamal99.

Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar yang terkenal dengan mulut celopar dan “cakap besar”  serta berperwatakan mahu berseteru dengan kumpulan Bersih berkata, kejadian “parang terbang” akan berlaku jika perhimpunan Bersih 5  diteruskan pada November depan.

Pihak polis telah memberi amaran kepada Jamal, dan beliau segera menafikan bahawa beliau memuat naik posting berkenaan.

Jamal sebelum ini mendakwa status itu ditulis dalam akaun palsu yang menggunakan namanya. – Sarawakvoice