Maritim M’sia sasar 30 minit bergerak ke lokasi kecemasan, dalam dua jam bantuan sudah sampai!

0
2

MUARA TEBAS: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sarawak menyasarkan bot atau kapalnya mula bergerak ke lokasi kecemasan dalam tempoh 30 minit sebaik sahaja menerima panggilan.

Aset bantuan tersebut kemudiannya dijangka sampai di lokasi kejadian dalam tempoh dua jam atau kadar lebih cepat daripada itu.

“Kalau lokasi lebih jauh atau melebihi 50 batu (dari pangkalan APMM), kita akan memaklumkan kapal kita (APMM dan agensi lain) yang berada di laut terdekat dengan lokasi kemalangan untuk bergerak ke lokasi,” kata Pengarah Maritim Wilayah Sarawak, Laksamana Pertama Maritim, Ismaili Bujang Pit.

Bercakap selepas merasmikan Latihan Mencari Dan Menyelamat (SAREX) Maritim Wilayah Sarawak di Kompleks Maritim, Tun Abang Salahuddin (Komtas) Jalan Bako pada Isnin, beliau berkata, mengikut prosedur tetap (SOP), satu atau dua bot mahupun kapal APMM siap sedia menerima arahan di pangkalan termasuk di Muara Tebas.

Lebih-lebih lagi pada musim tengkujuh yang bermula bulan ini dan hujung tahun, laut bergelora dengan nelayan laut dalam terus masih bertugas di lautan.

Malah, menurut Ismaili, nelayan asing juga gemar menceroboh perairan Sarawak kerana percaya lebih banyak ikan ketika laut bergelora pada musim tengkujuh.

Latihan SAREX Maritim Wilayah Sarawak di perairan Muara Tebas itu bermula Isnin hingga 12 Oktober.

Selain meningkatkan kecekapan APMM dan agensi lain dalam memberikan perkhidmatan mencari dan menyelamat, peserta juga didedahkan cara berkomunikasi di laut bagi menyelamatkan mangsa sehingga dapat dibawa ke hospital.

Latihan disertai polis marin, pasukan gerakan udara polis, tentera laut, tentera udara, Jabatan Laut, Jabatan Bomba Dan Penyelamat, Jabatan Meteorologi, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Penerbangan Awam, Lembaga Sungai Sarawak, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Hospital Umum Sarawak dan syarikat Sapura. – Sarawakvoice