KABONG: Semalam, 9 Oktober genap dua dekad tragedi kebakaran asrama Sekolah Kebangsaan (SK) Abg Moh, Sessang dan tersisip utuh dalam lipatan sejarah.

Peristiwa penuh tragis pada 9 Oktober 1996, yang berlaku kira-kira jam 12 tengah malam itu sekali gus meragut 14 korban iaitu 11 mangsa rentung pada malam kejadian manakala empat lagi meninggal ketika di hospital.

Mengimbas kembali sejarah hitam yang berlaku, mangsa yang terlibat kesemuanya adalah murid asrama sekolah berkenaan yang berumur di antara 9 hingga 11 tahun.

Kejadian ini juga turut disifatkan sebagai kebakaran terburuk di Malaysia pada ketika itu yang melibatkan pelajar sekolah.

Kampung Sessang sebuah perkampungan kecil yang kurang dikenali tiba-tiba sahaja menjadi perhatian seluruh negara ekoran insiden hitam tersebut.

Suasana pilu menyelubungi ibu bapa,ahli keluarga, rakan-rakan serta warga sekolah malang itu dengan esak tangis menjadi pengisi ruang semasa dan selepas tragedi berlaku.

Lebih menyayat hati, hampir kesemua mangsa yang terperangkap rentung dan mayat mereka sukar dikenal pasti identiti.

Bantuan dan sumbangan daripada pelbagai pihak datang mencurah-curah. Sumbangan kewangan yang diterima sehingga mencecah lebih sejuta ringgit.

Kesemua mangsa kebakaran berkenaan telah disemadikan dalam satu liang lahad di tanah perkuburan Islam Sessang sebaik kesemua jenazah diuruskan di masjid kampung itu.

Hanya seorang mangsa berbangsa Iban dan dikebumikan mengikut tradisi keluarga mereka.

Meskipun telah 20 tahun berlalu,namun bagi empat rakan mangsa yang terselamat peristiwa pahit itu meninggalkan parut hitam dalam sejarah hidup mereka yang tidak akan dapat dilupakan sampai bila-bila.

Sarawak Voice (SV) sempat menemui Mohammad Solehan, Jolen , Azhar Bustami, Hazeri Zulkarnaen Daud, dan Iswandy Hasmawi , yang kesemua mereka kini berusia 31 tahun, di Sessang hari ini.

Daripada empat yang terbabit, Mohd Sollehan Jolen adalah yang melecur paling teruk namun terselamat dalam tragedi itu.

Manakala tiga yang lain melecur badan hampir 60 peratus.

Ketika ditemui, mereka berempat sayu apabila mengimbas semula nasib yang menimpa rakan-rakan mereka yang maut ketika tragedi.Begitupun mereka turut bersyukur kerana telah terselamat dari bencana itu.

Mohd Solehan yang ditemui turut mengibarat dirinya bagai mati hidup semula dan kejadian yang dilalui tidak akan dapat dilupakan malah sering menghantui ingatannya.

Mereka berempat turut merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang sanggup membantu semasa mereka ditimpa musibah.

Harapan mereka, cukuplah sekali itu sahaja musibah berkenaan berlaku di kampung mereka dan biarlah tragedi itu menjadi yang pertama dan terakhir. – Sarawakvoice