Mahathir: Jawatan Pengerusi, Presiden untuk elak salah guna kuasa

0
9

KUALA LUMPUR:  Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, parti itu mempunyai jawatan pengerusi dan presiden kerana tidak mahu tumpuan kuasa pada seorang individu bagi mengelakkan salah guna kuasa.

Mahathir mengakui majlis tertinggi tidak mampu membendung salah guna kuasa.

Mahathir dilantik sebagai Pengerusi, manakala Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden PPBM.

“Jadi lebih baik ada sebuah badan dipengerusikan oleh seorang pengerusi, yang akan menyeimbangkan kuasa presiden,” katanya.

Ditanya tentang tuduhan  beliau cuba mengekang Muhyiddin dengan menjadi presiden, Mahathir berkata, tuduhan sedemikian adalah perkara biasa.

“Tapi saya sudah terlalu tua untuk kawal orang. Tetapi saya percaya bekerjasama dua orang lebih baik berbanding usaha seorang,” katanya dalam temu bual dengan Malaysiakini.

“Saya raya BERSATU boleh hidup. Sudah tentu Muhyiddin ada di situ tetapi tidak bermakna dia akan kekal jadi presiden. Kita akan buat pemilihan dan terpulanglah kepada anggota-anggota untuk tentukan sama ada beliau mampu teruskan atau tidak. Kita parti yang demokrasi,”’ katanya menjawab soalan bahawa Muhyiddin tidak mampu memimpin parti berkenaan.

Mahathir berkata, bekas Timbalan Perdana Menteri itu boleh memimpin parti berkenaan.

“Saya rasa buat masa ini, dengan sokongan diberikan, beliau boleh memimpin parti. Sama ada beliau boleh pimpin kerajaan itu soal lain,” katanya.

Mahathir menolak andaian bahawa beliau mempunyai cita-cita untuk menjadi menteri, menteri kanan atau menteri mentor atau apa pun seperti Lee kuan Yew di Singapura.

Berkaitan dengan cadangan anaknya, Mukhriz supaya dibataskan tempoh perjawatan perdana menteri kepada dua penggal, Mahathir mengakui itu merupakan trend di seluruh dunia.

Katanya: “Ini trend seluruh dunia. Ada yang bataskan kepada sepenggal, ada yang dua penggal. Tetapi apa yang penting, perdana menteri harus diberikan masa untuk berfikir, untuk faham kerjanya, untuk gubal dasar-dasar dan laksanakannya.”

Mahathir merupakan perdana menteri paling lama memerintah Malaysia, selama 22 tahun.

Mahathir disifatkan sebagai mengamalkan kuku besi ketika memerintah dari 1981 hingga 2003, termasuk menahan 106 orang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1987.

Mahathir dituduh sebagai diktator dan diberi label mahazalim dan mahafiraun oleh musuh politiknya.

Beliau memecat timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998 sehigga mencetuskan gelombang reformasi. Akhirnya Anwar disubat di dalam penjara atas tuduhan salah guna kuasa dan liwat.

Namun, baru-baru ini kedua-dua pemimpin itu bersemuka, berjabat tangan dan berbincang selepas 18 tahun bermusuhan.

Dalam kes  beliau, Mahathir berkata beliau ada 22 tahun, dan oleh itu,  ada banyak masa untuk meneliti semula apa yang telah dibuat.

“Tetapi saya fikir jika seseorang itu terlalu lama (pegang jawatan), dia mungkin salah guna kuasa. Dalam kes saya, saya putuskan letak jawatan, tanpa tekanan daripada sesiapa,” ujarnya.

Ditanya sama ada cadangan itu satu ironi, jawapan Mahathir ialah: “Saya rasa Mukhriz sandarkan pada kejayaan saya. Pada masa saya, saya tidak dengar sesiapa pun suruh saya berundur. Saya letak jawatan sendiri.