Sunday, September 25, 2022

Kenyataan Muhyiddin ibarat belum beranak sudah ditimang, kata Salleh Keruak

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin  berkata  pembangkang dapat mengambil alih Johor jika memenangi hanya 10 lagi kerusi pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

BN menguasai 37 kerusi dan pembangkang 19 kerusi daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Tetapi bagi Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak kenyataan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu ibarat ‘belum beranak sudah ditimang’.

Bagi Salleh, Muhyiddin perlu terlebih dahulu meyakinkan pengundi bahawa ia mempunyai sesuatu yang lebih baik untuk ditawarkan daripada kerajaan sekarang.

“Pada masa ini, nampaknya seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia semata-mata ditubuhkan untuk menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seperti juga PKR (Parti Keadilan Rakyat) ditubuhkan untuk membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara,” katanya menerusi posting terbaharu beliau dalam blognya.

Salleh, yang juga Bendahari Umno, berkata Pakatan Harapan belum lagi memutuskan sama ada untuk menerima Bersatu ke dalam pakatan pembangkang atau sama ada Bersatu cuma menubuhkan pakatan pilihan mengenai pengagihan kerusi.

“Ini harus dibuktikan dahulu kerana jika mereka tidak dapat mewujudkan kesepakatan sebelum pilihan raya, bagaimana mereka hendak mencapai kata sepakat biarpun jika mereka menawan Johor?”, tambahnya.

Salleh juga menarik perhatian bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata mereka tidak perlu mengumumkan calon pembangkang untuk jawatan perdana menteri ataupun mengumumkan kabinet bayangan.

“Pakatan Harapan mahu Anwar sebagai perdana menteri. Adakah ini bermakna Mahathir tidak mahu Anwar? Dalam kes ini, siapakah yang Dr Mahathir mahu?” tanya beliau.

“Adakah ini kerana Bersatu dan Pakatan Harapan tidak bersetuju mengenai calon,” katanya.

Menurut Salleh, hakikatnya  PAS tidak bersetuju dengan pemilihan Anwar dan Muhyiddin sebagai calon  perdana menteri. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru