Satu daripada lima pekerja lampau masa di Jepun berdepan risiko kematian

0
3

TOKYO: Menurut kaji selidik terbaharu yang dijalankan oleh kerajaan, satu daripada lima pekerja di Jepun berdepan risiko kematian disebabkan bekerja melampaui had masa.

Antara ratusan kematian yang direkodkan setiap tahun itu berpunca daripada bekerja terlalu kuat ialah serangan jantung, ahmar dan bunuh diri.

Menurut laporan AFP, kaji selidik yang dijalan merupakan sebahagian daripada kertas laporan “karoshi” atau mati akibat kerja kuat.

Kabinet Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe menyokong kuat kaji selidik ini serta mahu tindakan undang-undang diwujudkan bagi untuk mengatasi masalah terbabit.

Berbanding negara maju, kebanyakan pekerja Jepun masih menghabiskan banyak masa bekerja di pejabat.

Statistik Disember 2015 hingga Januari 2016 menunjukkan sebanyak 22.7 peratus syarikat yang ditinjau mendapati pekerjanya mencatat masa kerja tambahan lebih 80 jam sebulan.

Sekitar 21.3 peratus pekerja dilaporkan bekerja secara purata 49 jam seminggu iaitu lebih 16.4 peratus berbanding Amerika Syarikat, Britain (12.5 peratus) dan Perancis (10.4 peratus).

Kaji selidik merumuskan, pekerja Jepun mengadu mengalami tekanan tinggi akibat kerja dan menggesa agar pihak berkuasa mengarahkan syarikat memperbaiki persekitaran kerja. – Sarawakvoice