Monday, June 27, 2022

Taman Perindustrian Sama Jaya sediakan hampir 10,000 peluang kerja, jana eksport lebih RM2 bilion setahun

Secara Rawak

KUCHING: Kerajaan sudah menyiapkan pembangunan Taman Perindustrian Sama Jaya bagi Fasa V seluas 70 hektar, kini fasa VI seluas 56 hektar pula diteruskan pembinaannya.

“Kerja meluaskan Taman Perindustrian Sama Jaya sangat penting kepada pembangunan ekonomi tempatan sekali gus meningkatkan pendapatan negeri ini,” ujar Menteri Industri, Pembangunan Usahawan, Perdagangan dan Pelaburan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Awang Tengah bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dato’ Sri Mustapa Mohamed melawat Comtec Solar International (M) Sdn. Bhd di Taman Perindustrian Sama Jaya pada Jumaat.

“Selain mewujudkan 9,100 peluang pekerjaan dengan 99 peratus (pekerja) merupakan penduduk tempatan, taman perindustrian ini mampu menjana pendapatan tahunan lebih RM250 juta,” kata Awang Tengah yang juga menegaskan, taman perindustrian terbabit mampu menjana eksport melebihi RM2 bilion setahun.

Awang Tengah yang juga Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua berkata, “dasar Kerajaan Negeri yang mesra perniagaan menarik minat pelabur melabur di negeri ini (yang) mempunyai politik stabil.”

Sebanyak tiga syarikat multinasional beroperasi di Taman Perindustrian Sama Jaya iaitu LONGi Kuching Sdn. Bhd dengan pelaburan RM1 bilion, X-FAB Sarawak Sdn. Bhd RM500 juta dan Taiyo Yuden (S) Sdn. Bhd RM300 juta.

Sementara, Pengarah Urusan Comtec Solar International (M) Sdn. Bhd, Isabel Kow mengaku syarikat itu sudah melabur RM1.2 bilion di Taman Perindustrian Sama Jaya sejak 2014.

Syarikat Comtec yang bertapak di Kuching sedia untuk menjadi kilang pembuatan terbesar di dunia bagi menyediakan 409 peluang pekerjaan dengan tambahan 1,300 lagi peluang kerja pada fasa akan datang. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru