Sekolah TPS, Petra Jaya lahir pelajar berkelas dunia, turut tarik pelajar Korea Selatan dan China mendaftar

0
3

KUCHING: Sekolah Tunku Putra (TPS), Petra Jaya melakarkan banyak kejayaan menjadikannya mampu melahirkan pelajar berkelas dunia.

Namun, reputasi terbaik TPS adalah apabila ia berjaya menambat minat warganegara lain menempatkan anak mereka belajar di situ demi memastikan mereka mempunyai akses terbaik serta pendidikan antarabangsa berkualiti tinggi.

“TPS mempunyai prestasi tinggi, ada di antara keluarga dari Korea Selatan dan China menempatkan anak mereka di sini bagi membolehkan mereka mendapat pendidikan yang baik terutama dalam menguasai bahasa Inggeris,” kata Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud pada Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun ke-20 Sekolah Tunku Putra, Petra Jaya pada Jumaat.

Taib berkata, TPS menggabungan pendidikan berkualiti, kaedah pembelajaran dan pengajaran berkesan serta penggunaan teknologi terkini dan prasarana bertaraf dunia

Melalui model pendidikan holistik membuktikan TPS mampu menyediakan peluang, pilihan, kepelbagaian dan variasi demi membangun tenaga kerja yang mampu menyumbang pertumbuhan Sarawak.

TPS memperoleh gred terbaik melalui akademik dan kurikulum. Dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), TPS mencapai kadar lulus 100 peratus bagi tempoh lima tahun berturut-turut.

Tahun lepas, 20 peratus pelajar TPS mencapai gred A secara keseluruhan.

Manakala, bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sekolah ini mencapai 4.41 Gred Purata Sekolah (GPS) iaitu melebihi Gred Purata Kebangsaan 5.15 serta Gred Purata Negeri, 5.47.

Pelajar TPS mencapai kelulusan 100 peratus hampir semua mata pelajaran dengan 75 peratus daripada mereka mencapai lima atau lebih subjek gred A+ hingga C.

Bagi keputusan IGCSE 2015, TPS menjadi antara sekolah terbaik dengan lebih 89 peratus pelajar mendapat gred A+ hingga C.

Paling ketara, 50 peratus daripada keputusan itu merupakan gred A bagi subjek Matematik dan 100 peratus bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris iaitu gred A+ hingga C.

Taib turut merakam rasa bangga beliau atas sumbangan pelajar TPS pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2016, pelajar juga bekerjasama dengan Simfoni Orkestra Negeri mementaskan drama.

TPS juga mendapat tempat pertama pada program Cabaran Pereka Cipta Muda Sime Darby (YIC) 2016.

Ramai pelajar TPS berjaya meneruskan kejayaan dalam pelajaran mereka di peringkat lebih tinggi.

Bermula 1996, TPS hanya mempunyai 90 dan kini ia mampu menempatkan 632 pelajar pada 2016.

TPS mempunyai pendidikan holistik serta memenuhi keperluan pelajar merangkumi peringkat tadika, sekolah rendah kebangsaan dan antarabangsa, sekolah menengah kebangsaan dan antarabangsa yang menawarkan IGCSE serta kelayakan SPM. – Sarawakvoice