Rasuah: Ahli parti Mahathir mohon maaf, Anifah Aman ancam ambil tindakan undang-undang

0
5

KUALA LUMPUR: Terlanjur perahu dapat diundur, terlanjur kata buruk padahnya.

Itulah yang berlaku terhadap seorang ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Hamidah Osman yang terlanjur dalam tindakannya dengan mengaitkan kes rasuah yang menggemparkan membabitkan seorang pengarah dan timbalannya di Sabah.

Beliau mendakwa bahawa pengarah jabatan terbabit ialah Bendahari UMNO Kimanis.

Beliau turut mengaitkan nama Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman yang juga Ketua UMNO Bahagian berkenaan.

Anifah  semalam turut mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan Hamidah dan pihak-pihak lain dan mengancam untuk menyaman mereka jika tuduhan terus dilemparkan terhadapnya.

Hamidah dalam catatannya mengakui maklumat yang diperolehnya adalah daripada sebuah blog yang kemudiannya dimuat naik dalam Facebook peribadinya.

“Maaf, maklumat berkenaan Bendahari UMNO Kimanis yang saya dapat semalam melalui blog ini didapati tidak benar. Posting semalam (kelmarin) saya sudah padam,” katanya.

Anifah berkata tuduhan berkenaan adalah palsu dan menjelaskan bahawa UMNO Kimanis dan beliau sama sekali tidak terbabit dalam kes yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Sabah.

“Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang jika kenyataan berunsur fitnah itu terus diterbitkan,” katanya dalam kenyataan berkenaan. – Sarawakvoice