Mencari calon wakil rakyat: Sila tampil ke hadapan

Dalam pilihan raya yang akan datang,  semua parti politik di negara ini dijangka akan menggugurkan beberapa muka lama yang dianggap tidak lagi dapat memainkan peranan yang berkesan sebagai pemimpin parti dan wakil rakyat.

Yang bakal digugurkan antara lain, ialah yang tidak lagi popular dalam kalangan pengundi, tidak komited dengan tugasnya, sudah terlalu lama mewakili kawasan dan tidak lagi disenangi pemimpin atasan.

Parti terbabit tentu tidak akan mahu mengambil risiko sehingga kehilangan kerusi semata-mata untuk menjaga hati individu terbabit. Biarlah calon yang ditampilkan dapat memberi nafas baharu kepada  parti.

Percayalah, jika wakil rakyat yang sudah tidak bermaya dan mereka yang mendapat majoriti kecil  tidak digugurkan,  parti berkenaan berdepan risiko kalah di kerusi itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak  pernah berkata setiap wakil rakyat akan dinilai secara objektif berdasarkan komitmen mereka serta sokongan pengundi kepada mereka.

Justeru, wakil rakyat yang sedia ada tidak perlu melobi.

Untuk pilihan raya yang akan datang,  parti komponen BN dijangka akan mengambil kira beberapa kriteria dalam pemilihan calon. Sudah tentu satu daripada kriteria penting adalah kelayakan calon.

Sesuai dengan tuntutan zaman dan keadaan, parti  terbabit sudah sewajarnya memilih calon yang sekurang-kurangnya mempunyai kelayakan ijazah pertama.  Pengalaman dan kepakaran calon dalam sesuatu bidang juga tidak kurang pentingnya.  Kepelbagai kepakaran dan pengalaman wakil rakyat sudah tentu akan membantu memberi input yang pelbagai kepada parti dan negara. Hal ini akan menguntungkan  semua pihak termasuk rakyat dan parti yang diwakili.

Bagi rakyat pula, mereka ingin melihat  wakil rakyat yang komited untuk membawa pembangunan ke kawasan mereka. Untuk itu, mereka mahu melihat wakil rakyat yang prihatin dan berjiwa rakyat, iaitu calon wakil rakyat yang bersedia untuk turun padang bagi mendengar keluhan, masalah dan aspirasi mereka.

Apalah gunanya wakil rakyat yang berkelayakan jika tidak sanggup mendengar masalah dan isu yang membelenggu rakyat? Apalah gunanya wakil rakyat yang hanya mementingkan agenda peribadi, iaitu untuk mengaut kekayaan semata-mata?

Rakyat mahu melihat wakil rakyat yang sanggup merasai denyut nadi dan gerak rasa mereka. Untuk itu, tentu lebih elok jika calon yang dipilih ialah anak tempatan yang dilahirkan dan dibesarkan di kawasan yang bakal diwakilinya. Hal ini demikian kerana, calon berkenaan dapat mengenali rakyat dan pengundinya, dan juga dapat menghayati masalah yang dihadapi oleh pengundi.

Sesungguhnya, jika ditanya rakyat, mereka mahu wakil rakyat yang  sanggup bersama-sama mereka terutama ketika mereka menghadapi masalah, misalnya sewaktu kawasan dilanda banjir. Wakil rakyat yang sedia berkorban merupakan pilihan mereka.

Wakil rakyat yang disayangi ialah mereka yang mesra dengan penduduk, dan bukannya wakil rakyat yang sombong. Mereka amat menyenangi wakil rakyat yang sentiasa mendampingi mereka.

Mereka tidak suka dengan wakil rakyat yang hanya turun ke kawasan sekali-sekala.  Kini, rakyat tidak lagi suka dengan wakil rakyat yang hanya menunjuk batang hidung sewaktu menjelang pilihan raya semata-mata.

Rakyat akan memprotes melalui undi jika wakil rakyat tidak memperlihatkan komitmen dan hanya pandai menabur janji.

Bukan tidak ada wakil rakyat yang terhakis majoritinya hanya kerana dia pandai menabur janji, tanpa mengambil inisiatif untuk menyelesaikan masalah rakyat dan membawa pembangunan ke kawasan.

Rakyat sedang menunggu calon yang mesra, tidak angkuh, komited untuk berkhidmat, mudah didekati, mengotakan janji dan dapat membawa perubahan di kawasan yang diwakili. – Sarawakvoice