Kerajaan campur tangan jika FAS terus gagal lantik Presiden – Karim

0
6

KUCHING: Menteri Muda Belia dan Sukan Negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah semalam menegaskan, Kerajaan Negeri akan melakukan intervensi seandainya Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) gagal memuktamadkan pelantikan Presiden baharunya.

Menurutnya, tindakan itu diambil kerana persatuan itu tidak dapat berfungsi dengan baik seandainya tidak mempunyai pengemudi.

“Kita faham tanggungjawab untuk memilih Presiden bukannya mudah tetapi seseorang perlu ada untuk memimpin persatuan ini,” katanya kepada media semalam.

Pada 17 September lalu, FAS telah memilih barisan kepimpinan baharunya namun gagal mencapai kata sepakat berhubung jawatan Presiden.

Ini berikutan pengunduran Datu Sudarsono Osman sebagai Presiden, diikuti Timbalannya, Datu Abu Bakar Marzuki dan Setiausaha Agung, Abdullah Julaihi yang turut enggan dipilih semula.

Semalam, FAS dalam sidang media selepas mesyuarat eksekutifnya mengumumkan pelantikan anak perempuan bongsu Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud sebagai penasihatnya.

Datuk Hanifa Hajar Taib-Alsree, 44 tahun, merupakan seorang usahawan yang juga aktif dalam kerja-kerja kebajikan.

Selain memegang jawatan sebagai Pengarah Eksekutif Kristal Harta Sdn Bhd yang memiliki radio swasta Cats FM , Hanifah juga merupakan pengarah di 16 buah syarikat dan pemegang saham di 90 buah syarikat lain di negara ini, selain merupakan pemegang saham utama Sitehost Pty Ltd yang memiliki hotel bertaraf lima bintang seperti hotel ”Adelaide Hilton” di Australia.

Abdul Karim menjelaskan, antara alasan yang menyebabkan ramai yang menolak untuk menjadi Presiden sukan paling popular di negeri ini itu adalah disebabkan bajet yang terlalu besar untuk menggerakkannya.

“FAS memerlukan bajet sekitar RM1 juta setiap bulan dan kita faham, ia bukan tugas yang mudah untuk mencarinya,” katanya lagi.

Katanya lagi, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu memahami dan menyelami masalah yang dihadapi oleh Sabah dan Sarawak dalam bersaing dalam Liga Malaysia.

“Pasukan lain hanya perlu menggunakan penerbangan dua kali setiap musim untuk beraksi dalam perlawanan liga, tetapi Sarawak dan Sabah tidak ada pilihan.

“Mereka terpaksa terbang setiap minggu ke Semenanjung untuk aksi di tempat lawan dan ini melonjakkan kos,” jelasnya.

Pada pandangan saya, katanya jika Sarawak dan Sabah masih terus menyeluk poket sendiri untuk bermain di tempat lawan tanpa bantuan FAM, persatuan negeri itu perlu melihat dan menilai semula kehadiran mereka dalam kancah Liga Malaysia.

“Kerana itulah tiada siapa yang berani menjadi Presiden FAS sekarang.

“Apa pun, untuk kebaikan dan kelancaran sukan bola sepak Sarawak, saya berharap mereka akan segera menemui Presiden baharu kerana persatuan sukan tidak akan dapat berfungsi sebaik mungkin jika hanya ada badan dan ekor, tetapi tidak ada kepala,” katanya.