Saturday, May 21, 2022

Banteras rasuah: SPRM perlu perluas pemantauan ke atas semua agensi awam

Secara Rawak

KOTA KINABALU:  PAS Sabah mencadangkan jawatankuasa khas dibentuk di peringkat kerajaan negeri bagi memantau proses dan pengagihan projek mengikut peraturan dan bebas daripada sebarang unsur rasuah.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Sabah Herryanto Hasanuddin berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu memperluaskan pemantauan ke atas semua agensi awam di bawah kerajaan negeri terutama perkara yang melibatkan projek tertentu agar wujud ketelusan dan memastikan mereka yang terlibat dalam jenayah rasuah diambil tindakan dengan dibawa ke muka pengadilan.

“Rasuah dalam membiarkan individu memonopoli projek-projek oleh kroni membawa kepada penyelewengan duit rakyat yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan infrastruktur di dalam negeri Sabah perlu dihapuskan,” katanya dalam satu kenyataan.

Cadangan beliau itu susulan penahanan dua orang penjawat awam yang terdiri daripada seorang pengarah dan timbalan pengarah dari agensi awam yang membawa kepada pembongkaran satu kegiatan rasuah dan rampasan wang tunai kira-kira RM53 juta beserta aset berjumlah hampir RM114.5 juta oleh SPRM.

“Tindakan oleh pihak SPRM ini wajar dipuji dalam usaha membanteras jenayah rasuah dalam kesemua aspek agar usaha penyelewengan dapat dihapuskan dan mengembalikan integriti yang diperlukan dalam sektor perkhidmatan awam dan pekerjaan,” ujarnya.

Kata beliau” “Cuba bayangkan berapa banyak duit rakyat yang telah dikebas oleh penjawat awam yang mengkhianati amanah dan sepatutnya ia perlu disalur kepada kemajuan infrastruktur untuk dinikmati oleh semua rakyat di negeri ini.”

Untuk itu, katanya, Pemuda PAS mengajak rakyat Sabah memastikan perubahan perlu dilakukan supaya negeri Sabah tidak lagi dikemudi oleh mereka yang terlibat  dalam rasuah dan ia perlu diterjemahkan  dalam pilihan raya akan datang untuk manfaat semua lapisan masyarakat dalam menuju ke arah negeri yang adil dan sejahtera. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru