Sunday, September 25, 2022

Bahasa Melayu kini terkulai layu, kata PAS

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri (DPPN) Perak mendesak agar Kerajaan Malaysia mengambil tindakan proaktif dalam memartabatkan bahasa Melayu dan dalam masa yang sama perbendaharaan kata haruslah diperkaya lagi seiring perkembangan masa, teknologi dan globalisasi.

Ketua dewannya, Mohd Akmal Kamaruddin menyeru agar setiap individu dan masyarakat mengukuhkan jati diri dengan pembudayaan bahasa Melayu dalam perbualan harian.

“Malahan sektor pendidikan dan sektor pekerjaan juga harus mengutamakan bahasa Melayu baik dari sudut pembelajaran, temu duga, kerja dan aktiviti,” katanya dalam satu kenyataan.

Dewan itu menjunjung titah Baginda Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam Majlis Titah Diraja anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada Rabu lalu bahawa penggubalan dasar pengajaran bahasa Inggeris hendaklah tidak mengetepikan bahasa Melayu bahkan menjamin kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Malaysia.

“Satu ketika bahasa Melayu menjadi lingua franca namun kini terkulai layu di bumi sendiri atas alasan mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris. Tidak dinafikan bahasa Inggeris penting, namun ia harus selari malahan perlu lebih lagi usaha bagi memartabatkan bahasa Melayu,” ujarnya.

Beliau berkata, pelajar di sekolah bukanlah bahan eksperimen untuk diuji sesuatu dasar baharu yang diperkenalkan.

“Amat malang apabila pelajar sama ada di peringkat rendah hinggalah ke peringkat universiti sudah mula kurang mengetahui istilah, perbendaharaan kata, peribahasa, tatabahasa dan simpulan bahasa dek kerana ibu bapa, guru, pensyarah dan masyarakat mengutamakan bahasa Inggeris dalam pendidikan dan pekerjaan,” tambahnya.

“Negara maju seperti Jepun, Jerman, Perancis juga negara jiran seperti Thailand dan Indonesia menjadikan bahasa mereka sebagai nadi jati diri negara. Malahan mereka berbangga dengan menjaga bahasa mereka,” katanya.

“Malaysia pada hari ini mengikut arus pemodenan teknologi namun meninggalkan bahasa atas kejanggalan menggunakannya samada dalam bidang teknologi, sains, matematik dan lain-lain,” ujarnya. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru