Wednesday, June 29, 2022

Kemelut dan gelora politik pakatan pembangkang Sabah

Secara Rawak

Dr Lee Kuok Tiung, UMS
Dr Lee Kuok Tiung, UMS

Perkembangan politik semasa di Sabah semestinya menggemparkan politik seluruh Malaysia khususnya timbul persoalan masihkan relevankan PKR dan DAP di Sabah.

Tiada sesiapa pun yang boleh memberikan jawapan yang konklusif buat masa ini siapakah yang bakal mewarnai Team Shafie.

Yang jelas nampak ialah Shafie Way menjadi buah mulut rakyat di Sabah.

Sejauh manakah faktor Shafie mampu merobek BN Sabah belum teruji.

Bagaimana Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) hendak memulihkan maruah yang tercalar apatah lagi mendapatkan kembali keyakinan rakyat terhadap kedua-dua parti dari Malaya tersebut?

Keputusan PRU Ke-13 di Sabah pada 5 Mei 2013 cukup memberangsangkan apabila PKR memperolehi tujuh kerusi DUN dan DAP empat kerusi DUN. PKR turut memperoleh satu kerusi Parlimen, P.174 Penampang dan DAP dua kerusi Parlimen, iaitu P.172 Kota Kinabalu dan P.186 Sandakan.

Malangnya, perkembangan politik semasa di Sabah menyaksikan PKR kini hanya tinggal dua kerusi DUN, iaitu N.15 Api-api, yang disandang oleh YB Christina Liew dan N.13 Inanam,  YB Dr. Roland Chia. Itu pun Roland Chia pernah menggemparkan arena politik Sabah pada Disember 2014 apabila menyatakan hasratnya untuk meletakkan jawatan sebagai ADUN sebelum mengubah fikirannya.

ADUN PKR N.4 Matunggong dan N.7 Kadamaian bersama-sama dengan ADUN DAP,  N.16 Luyang duluan memilih menjadi BN friendly meninggalkan parti yang memberikan kemenangan kepada mereka.

Datuk Seri Panglima Wilfred Bumburing, ADUN N.9 Tamparuli pula kini sudah mengetuai Parti Cinta Sabah (PCS). Datuk Wilfred dilaporkan tidak pernah menyertai PKR.

DAP di Sabah juga buat masa ini berbaki dua kerusi DUN sahaja iaitu N.19 Kepayan dan N.57 Sri Tanjong meskipun masih memegang kedua-dua kerusi parlimen.

Kedua-dua pemimpin YB Darell Leiking, Ahli Parlimen Penampang dan YB ADUN Likas, Junz Wong sebenarnya juga boleh dianggap sebagai Giant Killer pada PRU Ke-13 yang lalu.

YB Darell mengalahkan Presiden Parti Upko, yang juga merupakan Menteri Persekutuan dan mantan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Bernard Dompok dengan majoriti 10,216 undi. Beliau memperoleh 22,598 undi, hampir menyamai dua kali ganda undi Tan Sri Bernard yang hanya memperoleh 12,382 undi.

Junz Wong yang meraih 7,746 undi dalam persaingan empat penjuru di N.14 Likas menyaksikan beliau turut mengatasi Datuk Yong Teck Lee, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) yang juga mantan Ketua Menteri Sabah. Calon BN Chin Shu Ying pula memperoleh 2,094 undi dalam pertarungan tersebut manakala calon STAR hilang deposit.

Terence Siambun pun tidak kurang hebatnya menewaskan orang kanan Upko, Datuk Philip B. Lasimbang di N.20 Moyog.

Wakil-wakil rakyat tersebut merupakan first timer dalam arena politik di Sabah, bukan juga pemimpin politik yang prominent sebelum PRU Ke-13 sebab ramai yang masih tidak mengenali mereka.

Hal ini bermakna faktor parti yang menjadi platform mereka berpolitik sebenarnya memainkan peranan penting memberi kemenangan kepada mereka.

Tidak tolak juga sentimen anti-BN yang bertiup kencang pada PRU ke-13 memainkan peranan.

Jadi persoalan besar di sini adalah adakah PKR yang sementara waktu ini tiada nakhoda kapalnya apabila Lajim meletak jawatan sebagai Ketua Cabang PKR Sabah serta DAP Sabah yang diketuai pengerusinya Stephen Wong akan menuntut kerusi-kerusi tersebut dengan menampilkan winnable candidates baharu pada pilihan raya akan datang? Atau ia akan berputih mata membiarkan bekas-bekas MP dan ADUN mereka mempertahankan kemenangan kerusi masing-masing di bawah payung Team Shafie?

Adakah mungkin Team Shafie akan bekerjasama dengan parti-parti kecil di Sabah yang belum teruji kemampuan memberi impak terhadap landskap politik di Sabah yang jumlahnya telah pun mencecah angka 23 keseluruhannya?

Dalam banyak-banyak kerusi yang ditandingi oleh STAR pada PRU yang lalu, mereka juga hanya mampu menang satu sahaja kerusi, iaitu Datuk Dr. Jeffery Kitingan di DUN N.33 Bingkor.

Begitu pun tidak lupa juga senario politik pada masa kini sudah berbeza daripada sebelum PRU Ke-13 tersebut kerana Pakatan Rakyat (PR) sudah tiada lagi, digantikan dengan Pakatan Harapan (PH). Parti Islam SeMalaysia (PAS) telah memilih haluan sendiri.

Pembubaran PR sebenarnya sedikit banyak menyebabkan kemerosotan kesediaan rakyat meletakkan taruhan mereka di tangan parti-parti PR, dan perkembangan semasa pastinya menambah tenat sengsara.

Melihat keadaan semasa apakah parti-parti PH masih bekerjasama dengan Datuk Shafie Apdal di Sabah atau tarik diri daripada arena politik Sabah untuk menyertai Team Shafie sahaja? Biar Shafie Apdal yang mengetuai pembangkang di Sabah.

Tindakan Datuk Seri Lajim Ukin, ADUN N.25 Klias meletak jawatan  pada minggu lepas juga bermakna jawatan Ketua Pembangkang di Sabah perlu dicarikan pengganti yang baharu.

Pengumuman Lajim ingin meneruskan pejuangan beliau dengan platform parti politik tempatan Sabah sebenarnya bukanlah juga sesuatu yang baharu sekiranya melihat beliau dan Bumburing bergerak atas Sabah Reform Front (SRF) yang terdiri daripada Pakatan Perubahan Sabah (PPS) dan Angkatan Perubahan Sabah (APS) pada  pilihan raya yang lalu.

Sejauh mana Team Shafie mampu menjauhi diri daripada bayang-bayang Team Mahathir mahupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang diterajui oleh mantan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan memainkan peranan penting dalam penentuan kesediaan parti-parti pembangkang tempatan Sabah untuk bekerjasama dengan beliau. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru