Elak mahasiswa lesu: Universiti, pensyarah, siswa perlu berubah

0
5

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa komited dalam memberikan pendidikan terbaik kepada rakyat Malaysia.

Sehubungan itu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata, setiap Universiti Awam (UA)  perlu melihat semula kurikulum agar pengalaman pembelajaran ke arah pembangunan insan yang holistik, relevan industri dan seimbang, selaras dengan matlamat iCGPA telah dilaksanakan mulai September 2016  di setiap UA di seluruh negara.

Apa-apa pun, ujarnya, mahasiswa perlu sedar untuk mempersiapkan diri ketika di universiti untuk berdepan masa depan yang lebih mencabar selepas tamat pengajian. “Mahasiswa perlu terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan untuk membina kemahiran berorganisasi dan berkomunikasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Program sukarelawan bagi beliau  dapat membina jati diri mahasiswa  dan menerapkan sifat ihsan dalam diri mahasiswa.

Sehubungan itu, Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) banyak menganjurkan program sukarelawan di peringkat nasional dan global untuk bersama menyumbang kepada masyarakat.

“Saya menyeru mahasiswa untuk memanfaatkan segala peluang yang telah disediakan di universiti dan mendapatkan pengalaman sebanyak mungkin untuk lebih berdaya saing,” jelasnya.

“Sesungguhnya perubahan ini sedang dilakukan dari aspek kokurikulum dan aspek pembelajaran demi kebaikan bersama. Saya berharap agar perubahan yang sedang dilakukan dalam sistem pendidikan tinggi negara terus konsisten dan akan bertambah baik,” tambahnya lagi.

Idris yakin dengan adanya sistem pendidikan tinggi negara yang baik dan mapan, pensyarah dan universiti akan terus “Soaring Upwards” dan bersama-sama bergerak ke arah kegemilangan.

Katanya, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) atau PPPM (PT) yang diperkenalkan April 2015 akan membolehkan sistem pendidikan tinggi bertransformasi agar dapat melahirkan graduan yang holistik dan berdaya saing di peringkat global, sekali gus menangani cabaran yang dihadapi mahasiswa ataupun istilah “Sindrom 4K”.

Ujarnya lonjakan pertama PPPM (PT) ialah melahirkan Graduan Holistik, berciri keusahawanan dan seimbang.

“Ini menzahirkan kepentingan mahasiswa perlu dididik untuk menghadapi masa depan yang semakin mencabar, bukan sahaja melengkapkan mereka dengan kemahiran dan asas etika yang mantap, malah memperkasa daya tahan dan meningkatkan ciri keusahawanan bagi meneroka peluang-peluang baru,” katanya.

Antara perubahan yang telah dilakukan adalah dengan memperkenalkan iCGPA. iCGPA adalah satu mekanisme pentaksiran bersepadu, pelaporan pencapaian dan pembangunan pelajar yang mengambil kira peningkatan adab, keilmuan dan keupayaan mereka.

“Pelaporan ini memperlihatkan pencapaian atribut merentasi lapan domain pembelajaran. Ia merupakan sistem pentaksiran bersepadu yang bertujuan untuk membantu pelbagai pihak berkepentingan, termasuk pelajar, membuat keputusan atau merancang langkah penambahbaikan,” jelasnya.

Selain itu, menurut Idris, KPT juga telah memperkenalkan program CEO@Fakulti yang bermatlamat untuk memberi pendedahan kepada pelajar mengenai dunia sebenar pekerjaan melalui sudut pandangan Ketua Pegawai Eksekutif atau tokoh industri terkemuka dan pelbagai latar belakang dari dalam dan luar negara melalui sesi syarahan.

Sebanyak 60 CEO terlibat pada tahun 2016, termasuk CEO Khazanah, AirAsia, Samsung dan dari kerajaan Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Polis Negara.

“Antara keberhasilan program ini, mahasiswa berpeluang mengalami dunia sebenar termasuk aspek pentadbiran dan perkongsian amalan terbaik dan membolehkan pelajar berfikir lebih baik dan holistik. Selain itu integrasi dan sinergi antara tokoh korporat dan pakar universiti ini sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan,” ujarnya. – Sarawakvoice