Bahasa Malaysia: Sikap pelik orang Malaysia

HARRY Aveling, pengkaji dan pengkritik sastera Melayu dan Indonesia yang dilahirkan di Sydney, tidak berhadapan dengan banyak masalah ketika berada di Malaysia. Hanya satu perkara yang menyebabkannya hairan: sikap orang Malaysia terhadap bahasa Melayu.

Mengikut Harry Aveling, orang Malaysia lebih gemar menggunakan bahasa Inggeris berbanding dengan bahasa Melayu apabila bertutur dengan bangsa asing, khususnya orang Eropah.

“Kebanyakan orang Malaysia berasa bertutur dalam bahasa Inggeris akan meninggikan prestij mereka dalam masyarakat, lantas kebolehan menguasai bahasa utama dunia itu perlu dipertontonkan, lebih-lebih lagi terhadap orang asing,” kata Aveling.

Ternyata beliau begitu kecewa dengan sikap rakyat Malaysia itu. Itulah sebabnya, bagi penutur asing yang mahu mempelajari bahasa Melayu di Malaysia, mereka selalunya berhadapan dengan masalah.

Malaysia bukan tempat yang sesuai untuk mempelajari bahasa Melayu, kerana masyarakatnya tidak mahu bercakap dalam bahasa itu.

Mereka lebih cenderung memilih Indonesia, kerana di Indonesia, bahasa itu digunakan dengan amat meluas oleh rakyatnya.

Orang Jepun yang saya temui juga mempunyai komen yang sama. Orang Malaysia katanya, berlagak walaupun bahasa Inggeris mereka tidaklah sehebat mana.

Rakyat Indonesia begitu bangga terhadap bahasa kebangsaan mereka. Itulah sebabnya bahasa itu digunakan di televisyen, persidangan, mesyuarat, dan sebagainya.

Sebenarnya, rungutan itu bukan sesuatu yang terlalu luar biasa. Dalam sebuah akhbar arus perdana baru-baru ini, seorang duta asing juga merungut. Duta itu yang fasih berbahasa Indonesia kerana pernah bertugas di negara 245 juta jiwa itu pada dekad 70-an, berasa pelik dengan sikap rakyat Malaysia. Beliau mengakui, rakyat Malaysia lebih suka berbicara dalam bahasa Inggeris walaupun beliau menggunakan bahasa Melayu. Sikap demikian, termasuk dalam kalangan orang Melayu sendiri.

Bayangkan perasaan penutur asing itu ketika terjebak dalam keadaan sedemikian?  Penutur asing berkenaan mungkin bangga kerana menguasai bahasa Melayu, dan ingin memberitahu rakyat kita bahawa, dia bangga dengan bahasa itu.

Justeru, dalam usaha untuk “menarik hati tuan rumah”, dia pun berbicara dalam bahasa itu.  Bayangkan senario ini: Anda dapat menguasai bahasa Thai. Ketika berada di Thailand, anda beranggapan itulah ketika yang terbaik untuk berlatih dan menggilap bahasa Thai anda. Ya, di manakah  lagi tempat yang terbaik untuk menggunakannya, kalau bukan di Thailand?

Dengan harapan, anda dapat memperbaik bahasa Thai anda, selain semoga anda diterima dengan lebih mudah, maka anda pun teruja untuk bertutur dalam bahasa itu.

Tetapi, bayangkan perasaan anda, ketika anda menggunakan bahasa itu, rakyat Thailand berkenaan terus-terusan bertutur dalam bahasa Inggeris walaupun mungkin bahasa Inggerisnya tidaklah lancar. Bagaimana perasaan anda?

Tetapi, hakikatnya, kejadian itu tidak mungkin anda alami, kerana rakyat Thai begitu bangga akan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi mereka itu.

Mungkin anda kecewa, dan mungkin juga “menyampah”. Begitulah barangkali perasaan Harry Aveling dan duta yang saya maksudkan tadi walaupun mungkin mereka tidak menyatakannya secara terus terang.

Mereka sekadar merungut di dalam hati.

Saya tidak begitu terkejut jika yang bersikap demikian rakyat bukan Melayu. Tetapi, akan lebih terkejut jika itu dilakukan oleh orang Melayu sendiri. “Tetapi mengapa kamu hairan,” tanya rakan saya. “Orang Melayu lagi pelik. Mereka lebih suka bercakap dalam bahasa Inggeris walaupun bahasa Inggeris mereka tidaklah sebaik mana. Perkara ini terutamanya berlaku dalam kalangan golongan elit dan kelas menengah.”

Tanggapan teman saya itu tidaklah terlalu meleset. Anda tidak perlu membuat penyelidikan saintifik untuk membuktikan hakikat itu. Perhatikan sahaja kerenah mereka, dan juga bahasa yang digunakan ketika berbual dalam majlis tidak formal.

Sebenarnya, pengalaman Allayarham Datuk Hassan Ahmad tentang perkara ini ketika bertugas di UNESCO, Paris adalah relevan. Mengikut mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, yang masih aktif memperjuangkan bahasa itu, bukan sahaja pegawai kanan kerajaan, ahli politik, ahli perniagaan, pensyarah dan pelajar universiti, bahkan pelawat biasa yang datang ke ibu pejabat UNESCO, ataupun ke pejabat Perwakilan Tetap Malaysia, boleh dikatakan selalunya berbual-bual, berbincang, bercerita sesama sendiri dalam bahasa Inggeris.

Keadaan itu, mengikut beliau sampai menyebabkan duta Korea bertanya kepada beliau. “Mengapakah orang dari Malaysia itu berbual-bual sesama sendiri dalam bahasa Inggeris?

Mengapakah mereka tidak bercakap dalam bahasa sendiri?

Duta itu tertarik untuk menanyakan soalan itu, kerana katanya: “Saya selalu memerhatikan orang Malaysia lebih banyak bertutur sesama sendiri dalam bahasa Inggeris, bukan sahaja di luar sidang, tetapi juga di cafeteria, di dalam lif, di majlis jamuan makan.”

Duta itu hairan, mengikut Hassan, bukan kerana dia tidak suka kepada bahasa Inggeris, tetapi kerana hal seperti ini dianggapnya ganjil kalau dilakukan oleh orang Korea sesama sendiri.

Katanya: “Kami sentiasa bercakap sesama sendiri dalam bahasa kami di mana-mana saja dan tentang perkara apa-apa sahaja.”

Sebenarnya, kecenderungan untuk tidak bertutur dalam bahasa Melayu meskipun diajak menggunakan bahasa itu oleh orang asing bukan sesuatu yang aneh di Malaysia atau ketika rakyatnya berada di luar negara.

Kadangkala peminat dan pengkaji bahasa Melayu dari luar terpinga-pinga dibuatnya. – Sarawakvoice