Pan Borneo rancakkan sosial, ekonomi, pelancongan Sarawak-Sabah dan Brunei

PUTRAJAYA: Projek Lebuh Raya Pan Borneo sejauh 2,325 kilometer dari Telok Melano ke Lawas di Sarawak; dari Sindumin ke Tawal di Sabah dijangka siap menjelang 2021.

Justeru, dalam kenyataan bersama Malaysia-Brunei yang dikeluarkan bersempena Perundingan Pemimpin Tahunan ke-20 antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Sultan Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah pada Selasa, Malaysia-Brunei sedia memulakan rundingan berhubung rangkaian Lebuh Raya Pan Borneo yang memasuki Brunei.

Kepentingan Pan Borneo ternyata menambah baik hubungan dan merancakkan perkembangan ekonomi serta sosial antara kedua-dua negara.

Dalam kenyataan bersama itu pegawai pegawai kedua-dua negara memulakan rundingan berkaitan rangkaian Lebuh Raya Pan Borneo yang menghubungkan Sarawak-Sabah-Brunei.

Berkaitan isu kerjasama pertahanan serantau, kedua-dua pemimpin berikrar memelihara keamanaan dan kestabilan dengan sedia menghadapi cabaran dan menentang sebarang ancaman di rantau ini.

Setakat ini, kerjasama bilateral antara Angkatan Tentera Malaysia (MAF) dengan  Angkatan Tentera Diraja Brunei (RBAF) sangat memuaskan.

Kedua-dua MAF dan RBAF terpuji dalam menggalas tanggungjawab memelihara keamananan dan kestabilan antarabangsa, khususnya di bawah seliaan Pertubuhan Bangsa Bersatu di Lubnan dan Pasukan Pemantau Antarabangsa di selatan Filipina.

Dalam kenyataan bersama itu, kedua-dua pemimpin mahu Kumpulan Kerja Pelancongan Brunei Darussalam-Sarawak meningkatkan kerjasama dan bergabung dalam bidang aksesibiliti, pemasaran dan promosi serta dalam isu keselamatan.

Isu lain yang disentuh ialah berhubung kerjasama dan penyelesaian masalah dalam sektor perikanan dan keberkesanan kedua-dua negara menangani ancaman virus zika.

Perkara lain yang diperkatakan ialah berkaitan peningkatan ketara jumlah pelancong luar di kedua-dua negara serta mereka menggesa pasukan teknikal mempercepat usaha menyelesaikan penandaan dan ukur tanah sempadan Malaysia-Brunei. – Sarawakvoice