KUCHING: Selepas lebih 24 jam, Ahli Dewan Undangan Negeri Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya meledakkan kemarahannya, Kementerian Kerja Raya sebentar tadi menafikan projek pembinaan itu ‘ditangguhkan’, sebaliknya mengalami ‘kelewatan’ dalam pelaksanaannya kerana tapak Jambatan Igan yang dirancangkan perlu dipindahkan ke tapak baharu berhampiran Kampung Igan.

Dalam kenyataan media yang dipanjangkan kepada media hari ini, kementerian yang diterajui oleh Datuk Seri Fadillah Yusuf itu berkata, menteri sedang menyediakan surat rayuan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk memohon menimbang semula keputusan Makmal Pengurusan Nilai sebelum itu supaya tidak melewatkan pelaksanaan projek pembinaan Jambatan Igan.

“Untuk makluman, tiga jambatan yang pada asalnya tidak diluluskan dalalam Rolling Plan 1 RMKe-11 iaitu Jambatan Sungai Rambungan, Jambatan Sungai Igan dan Flyover Bintulu, tetapi setelah rayuan dibuat oleh YB Menteri, ia telah diluluskan untuk pelaksanaan,” kata kenyataan itu.

Katanya, Jambatan Batang Igan dengan kos RM300 juta, Jambatan Rambungan (RM130 juta) dan Flyover di simpang Jalan Taman Medan/Jalan Tun Hussein, Bintulu (RM120 juta) telah diluluskan pada 23 Februari lalu oleh EPU setelah Fadillah menghantar surat rayuan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak pada 24 November 2015.

Kata kenyataan itu lagi, Makmal Pengurusan Nilai anjuran EPU telah diadakan pada 18 hingga 21 Julai lalu di Kuching dan semasa proses makmal tersebut, wakil Pejabat Daerah Matu telah membangkitkan permintaan penduduk-penduduk setempat supaya penduduk-penduduk tempatan, khususnya di Kampung Igan, mendapat akses kepada jambatan tersebut.

“Disebabkan permintaan penduduk-penduduk setempat itulah, maka makmal telah memutuskan supaya tapak jambatan ‘dipindahkan’ dari tapak asal ke tapak berhampiran jeti feri Kampung Igan,” jelasnya.

Kenyataan itu menyebut, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak telah mendapat kelulusan tapak jambatan lebih awal lagi daripada Unit Perancangan Negeri Sarawak untuk membina jambatan tersebut sekitar 7 ke 8 km ke hulu Kampung Igan, dan kerja-kerja awalan termasuk reka bentuk jambatan telah pun siap.

“Akan kerja-kerja pemindahan tapak cadangan jambatan Batang Igan ini akan melewatkan pelaksanaan projek jambatan ini kerana kerja-kerja awalan seperti ukur tanah & ukur hidrografik, penyiasatan tanah, reka bentuk struktur jambatan, dan lain-lain perlu dibuat semula.

“Proses untuk melaksanakan kerja-kerja awalan ini akan mengambil masa sekurang-kurangnya setahun,” tegasnya lagi.

Atas alasan itulah kata kenyataan itu lagi, maka projek pembinaan Jambatan Batang Igan tidak dapat bermula pada awal tahun 2017 seperti perancangan asal tetapi perlu dibuat semula kerja-kerja awalan di tapak baru.

“Kerana itulah kerja-kerja pembinaan jambatan ini akan hanya dapat bermula pada awal tahun 2018,” katanya.

Semalam Sarawakvoice.com menyiarkan ledakan kemarahan Dr Juanda berikutan penangguhan projek tersebut, yang sebenarnya telah dipohon sejak 14 tahun yang lalu.

Menulis dalam status facebooknya, Dr Juanda mempertikaikan kenapa terlalu sukar bagi KKR yang menterinya berasal dari Sarawak meluluskan projek yang menjadi ‘missing link’ kepada masyarakat Melanau di kawasan tersebut.

Malah beliau membayangkan kesedihan kerana masyarakat Melanau di kawasan tersebut untuk sekian lama menjadi penyokong tegar Barisan Nasional seolah-olah dilihat sebagai kelas kedua.

Status tersebut kemudian menjadi viral ke seluruh negara. – Sarawakvoice