KUALA LUMPUR: DAP Sabah menyifatkan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Likas Junz Wong yang keluar parti semalam untuk menyertai parti baharu Sabah sebagai satu pengkhianatan.

Semalam, Junz yang juga Setiausaha DAP Sabah bersama-sama enam pemimpin pembangkang Sabah mengumumkan keluar parti diketuai Pengerusi PKR Sabah Datuk Lajim Ukin dan beberapa pemimpin PKR.

Sehubungan itu, Pengerusi DAP Sabah Stephen Wong Tien Fatt mengecam sekeras-kerasnya tindakan beliau itu, sekali gus memohon maaf kepada seluruh pengundi di Likas yang telah memilih DAP.

DAP  berikrar untuk terus berkhidmat kepada rakyat di Likas walaupun wakil rakyatnya telah meninggalkan parti.

Sambil menyifatkan tindakan Junz sebagai pengkhianatan terhadap amanah pengundi di Likas,  beliau menggesa  Junz meletakkan jawatan sebagai Adun kerana keputusan beliau jelas tidak menghormati kehendak pengundi yang memilih DAP dalam pilihanraya lalu.

“Kami mengecam sekeras-kerasnya politik ‘lompat katak’ oleh Adun Likas Junz Wong yang telah mengetuai sekumpulan kecil anggota parti untuk keluar dari DAP dan mahu menganggotai sebuah lagi parti tempatan,” katanya seperti dipetik roketkini.

“Kami ingin menegaskan bahawa majoriti pengudi di Likas telah memilih DAP pada pilihanraya lalu, justeru wakil rakyat yang dipilih mestilah mematuhi ikrar kepada pengundi, dan akur kepada konsep serta prinsip parti,” ujarnya.

Beliau mendesak agar mereka meletakkan jawatan sekiranya mereka meninggalkan parti atau ‘lompat’ ke parti lain kerana mereka telah mengkhianati pengundi, tidak ada sebarang keraguan lagi!

Menurut Ahli Parlimen Sandakan itu, budaya ‘lompat parti’ yang diamalkan sebahagian ahli politik negeri itu merupakan amalan yang dibenci rakyat Sabah dan perlu dihapuskan demi kepentingan Sabah.

Katanya lagi,  pada tahun 2013, apabila Dr Hiew King Cheu meninggalkan DAP, Junz Wong telah mengeluarkan kenyataan terhadap pengkhianatan Hiew dan mendesak Hiew supaya meletakkan jawatan ADUN Luyang.

“Kini, perkara yang sama mesti dilakukan oleh Junz Wong. Beliau mesti meletakkan jawatan sebagai ADUN Likas dengan serta merta.

“Jika mereka tidak boleh memahami asas prinsip demokrasi, dan tidak menghormati kehendak pengundi, mereka tidak layak untuk berkata mereka peduli dengan negeri Sabah,” tegas beliau.

Sejarah, kata beliau, telah menunjukkan teladan bahawa mereka yang melompat dan sering mengabaikan kepercayaan rakyat, menggunakan pelbagai alasan dan helah demi kepentingan diri, akan ditolak oleh rakyat dan dilenyapkan dari sejarah.

Menurut beliau, ahli politik jenis ini, merendahkan konsep asas dan prinsip demokrasi, serta merupakan musuh terbesar demokrasi di negeri Sabah.