Tuesday, October 4, 2022

Husam: Pembekuan dua blok pembalakan hutan di Kelantan tepat

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa  menyifatkan langkah pembekuan sementara  dua blok pembalakan di Hutan Simpan Balah  yang diambil oleh Kerajaan Negeri Kelantan adalah sangat tepat, selari dengan cadangan beliau sebelum ini.

“Tidak sukar untuk Kerajaan Kelantan menunjukkan keprihatinan selanjutnya seperti diajar oleh Islam,” katanya dalam satu kenyataan.

Antaranya langkah yang dapat diambil, menurut Husam adalah dengan melaksanakan kajian impak sosial dan ekologi sepenuhnya, menimbangkan pewartaan zon kekal tanpa pembalakan untuk kelangsungan kesejahteraan Orang Asli dan menimbang pemberian hak milik.

Pada masa sama, kata Husam yang kini sudah bersama Amanah, “kerajaan mesti telus memaklumkan kekayaan sebenar isi hutan terlibat.”

Menurut beliau, jika dakwaan Persatuan Pembalak Kelantan  bahawa mereka mengalami kerugian sebanyak RM50 juta kerana lima hari sahaja operasi tidak dapat dijalankan adalah benar,  bayangkan kekayaan sebenar hutan berkenaan.

Kawasan ini, ikut kenyataan Pengarah Hutan sebelum ini,  adalah dalam Kawasan konsensi Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK).

“Sebelum ini saya telah nyatakan KPK telah gagal meletakkan nilai yang setara dengan kawasan pembalakan miliknya. Jika kerugian RM50 juta itu termasuk dua blok milik KPK, berapakah jumlah bayaran yang diterima oleh KPK?,” ujarnya.

Katanya: “Sepadankah perolehan KPK dan hasil kayu yang diperolehi pembalak?”

Untuk itu, kata beliau, ketelusan Kerajaan Negeri  Kelantan sekali lagi dituntut. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru