“Dari mana kamu dapat duit bina banglo di kawasan elit?”, tanya Lokman kepada Ezam yang keluar UMNO

KUALA LUMPUR: Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas, Datuk Lokman Adam berkata, beliau menyokong penuh tindakan Datuk Mohamad  Ezam Mohd Nor meninggalkan UMNO, malah, beliau amat kesal apabila manusia yang sarat dengan masalah korupsi, tidak amanah, hipokrit dan langsung tidak boleh dipercayai ini dibawa masuk semula ke dalam UMNO suatu ketika dahulu.

Mantan Ketua Pemuda Keadilan (PKR) itu memilih untuk meninggalkan UMNO semalam sungguhpun hasratnya sudah lama telah dihidu sejak beliau meninggalkan jawatannya dalam kerajaan enam bulan yang lalu.

“Apa yang membuatkan saya terpanggil untuk mengulas tindakan beliau ialah apabila saya membaca kenyataan 14 perenggan beliau yang penuh dengan penyataan seolah-olah beliau ini seorang yang cukup bermoral, berprinsip dan cukup anti rasuah,” kata Lokman dalam kenyataannya.

Sebagai bekas rakan tahanan di Kamunting, katanya, kenyataan Ezam itu membuat beliau berasa cukup meluat kerana beliau cukup mengenali manusia tiada integriti dan hipokrit  itu.

“Bersih sangatkah kamu wahai Ezam?  Kalau bersih sangat, dedahkanlah dari mana kamu dapat dana untuk bina banglo di kawasan elit Shah Alam walaupun ketika itu kamu meringuk dalam penjara.  Dedahkanlah apa jadi dengan duit yang Joseph Estrada bagi dan kamu seludup masuk melalui tambak Johor.  Tidak payahlah nak berlakon alim Ezam, duit yang Azmin Ali bagi untuk beli komputer Ibu Pejabat Pemuda Keadilan pun habis kamu sapu.  Semua ini masih segar dalam ingatan dan bakal saya bongkarkan semula sebaik sahaja kamu menaiki pentas pembangkang kelak,” dakwanya.

Kata Lokman: ”Mengenali Ezam, beliau tidak akan meletakkan jawatan dalam kerajaan dengan Gred Jusa A, tanpa mendapat tawaran yang lebih baik dari itu.   Ini adalah kerana, pada tahun 2004,  di saat akhir beliau telah menarik diri daripada memimpin kumpulan 12 menyertai UMNO kerana permintaan beliau agar dilantik sebagai sekurang-kurangnya Timbalan Menteri ditolak.”

Beliau berkata,  Setiausaha Politik Perdana Menteri,  Datuk Seri Reezal Merican ketika itu telah memaklumkan kepadanya bahawa Tun Abdullah Badawi sedia menerima beliau semula menyertai UMNO tanpa sebarang syarat.

Katanya, disebabkan tidak mendapat sebarang habuan, Ruslan Kassim akhirnya menjadi kambing hitam memimpin kumpulan 12 tersebut.

Tambahnya lagi, keputusan Ezam meletakkan jawatan dalam kerajaan sebenarnya dibuat selepas beliau mengadakan rundingan dengan pihak PKR.

Menurut Lokman, apabila Ezam  mengambil keputusan meninggalkan UMNO ini, hanya 2dua kebarangkalian mungkin telah berlaku.

“Pertama, PKR dah terlalu terdesak dan tiada pilihan selain terpaksa menggunakan Ezam semula.  Ini tidak pelik kerana kesetiaan Ezam kepada Anwar berakhir sebaik sahaja Nurul Izzah diijabkabulkan dan kesetiaan beliau terhadap Anwar kini bila-bila masa boleh dipulihkan kerana Izzah sudah pun berstatus janda. Tidak perlulah saya ulas panjang, memadai saya, Ezam dan beberapa sahabat lama yang pernah menegur beliau memahami maksud saya,” katanya.

“Kalau Ezam, masih tidak boleh diterima oleh PKR, kebarangkalian kedua tindakan beliau meninggalkan UMNO ini adalah kerana beliau menerima tawaran yang lebih baik dari pihak Parti Bunga Raya yang sememangnya ketandusan pemimpin dan hanya mampu meletakkan 7 nama sebagai Jawatankuasa Penaja Parti mereka,” ujarnya.

“Usahlah mereka cerita bahawa beliau menyertai UMNO dulu kerana mendapat komitmen Pak Lah untuk melakukan perubahan dalam usaha memerangi rasuah bagai. Mungkin budak-budak NGO Gerak boleh dikelentong dengan cerita kamu seolah-olah kamulah manusia yang bertanggungjawab sehingga BPR bertukar menjadi SPR, ISA dihapuskan dan perubahan-perubahan lain dilakukan,” ujarnya.

“Dan tiba-tiba kini kerana OSA tidak dihapuskan, kamu menuduh kerajaan menggunakan OSA untuk melindungi penerima rasuah.  Jangan lupa saya dan ramai lagi yang lain ada dalam Mesyuarat Pemuda Keadilan di mana kamu mengarahkan agar dokumen yang kamu dedahkan itu diposkan kepada kamu supaya ianya dilihat seolah-olah ada orang dalam yang membocorkan maklumat.  Kamu gunakan isu itu untuk mempopularkan diri kamu walaupun sudah tahu ia menyalahi undang-undang. Bila kena penjara nak salahkan akta pula. Kalau takut dengan risiko, tak payahlah bicara soal perjuangan,” jelasnya.

Hakikatnya, menurut Lokman lagi,   sebab sebenar Ezam meninggalkan UMNO tiada kaitan dengan  Akta Rahsia rasmi (OSA) ataupun rasuah.

“Ianya hanya kerana kepentingan peribadi dan masa depan beliau dalam UMNO yang semakin malap.  Malap kerana kamu gagal meyakinkan ahli UMNO untuk menerima kamu walaupun kamu diberikan laluan mudah menang tanpa bertanding sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja.  Ahli UMNO juga tidak boleh melupakan pembohongan kisah 6 kotak rahsia UMNO yang kamu uar-uarkan dulu sehingga kamu hilang integriti,” katanya

Selanjutnya Lokman berkata, Ezam sepatutnya bersyukur diberi peluang oleh Perdana Menteri  Datuk Seri Najib Razak sebagai Senator dan Pengarah Strategik Kementerian Kewangan (MOF).

“Sepatutnya jawatan tersebut kamu gunakan sehabis baik untuk mengukuhkan UMNO dan Kerajaan.  Curahkan bakti tanda keinsafan dan tunjukkan kesetiaan kamu yang tidak berbelah bahagi kepada parti.  Malangnya kamu gagal segagal-gagalnya.  Sebagai Pengarah Strategik MOF, apa yang telah kamu lakukan untuk meningkatkan kefahaman rakyat tengang GST? Kamu gagal. Langsung tidak boleh diharap,” tambahnya.

“Hakikat dan realitinya, kamu hanya mampu menjadi pembangkang. Ilmu yang kamu timba selaku Setiausaha Politik Menteri Kewangan gagal kamu gunakan untuk membantu kerajaan apabila kembali di dalam kerajaan.  Akibat dah terlalu lama menjadi pembangkang, kamu gagal menyesuaikan diri sebagai pemerintah.  Maka sesuailah jika kamu berhajat menyertai PKR semula atau jadi Mat Bunga. Bolehlah kamu sambung kerja membangkang,” ujarnya.

“Saya nak bagi jaminan kepada kamu bahawa agenda saya juga sama dan saya akan pastikan manusia hipokrit yang cuba berlagak alim sebagai penentang rasuah juga akan saya perangi habis-habisan,” tegas Lokman.