Friday, August 19, 2022

Baju merah lwn baju kuning: Mohammad Sabu dakwa polis lemah jaga keamanan, lindungi rakyat

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Dalam keadaan dan suasana apa sekalipun pihak polis bertanggungjawab menjaga keselamatan, memelihara keamanan sama ada rakyat ataupun negara.

Sebarang tindakan mengisytiharkan sesuatu perhimpunan sebagai haram, kuasa menyurai atau membenarkan terletak di tangan polis. Pihak polislah yang berkuasa.

Dalam transkrip kenyataan Presiden Parti Amanah Negara Haji Mohamad Sabu kepada Sarawak Voice beliau berkata, “selama ini, tidak ada mana-mana pihak menyuraikan himpunan pihak lain, tetapi kebelakangan ini, saya amat kesal, Ketua Polis Negara melepaskan tanggungjawab menjaga perhimpunan rakyat.

“Jikalau peserta perhimpunan tidak berpuas hati dengan pihak polis, akhirnya mereka bertarung di mahkamah untuk mendapat kebenaran,” ujar Mohamad.

Sebaliknya dalam kenyataan tersebut, Mohamad berkata, beliau kesal kumpulan baju merah diketuai Datuk Jamal Md. Yunos, dapat menentukan sama ada perhimpunan itu haram atau halal dan menyuraikan suatu kumpulan yang lain seolah-olah terletak pada tangan baju merah.

Mohammad Sabu mempertikaikan, “kenapa Ketua Polis Negara begitu lemah sekarang ini, untuk menjaga keamanan, menegakkan perlembagaan, melindungi sekalian rakyat di bawah kuasa polis.

Mohamad Sabu merujuk kepada hal yang berlaku di Teluk Intan baru-baru ini yang dikatakan pihak polis seperti “lepas tangan” melihat provokasi kumpulan baju merah yang terkenal aktif mencabar aktiviti kumpulan baju kuning dari Bersih.

Dalam peristiwa tersebut, kumpulan baju merah cuba menyuraikan kumpulan baju kuning yang dianggap oleh Mohamad sebagai tindakan permulaan malapetaka bagi keamanan di Malaysia.

“Saya mengharapkan pihak polis memperbaiki keadaan mereka, sebaliknya menjadi pelindung kepada rakyat yang bertindak secara tangan kosong, himpunan aman, perarakan, semua itu hendaklah dilindungi oleh pihak polis,” gesa Mohamad.

Beliau menambah, jika ada kesalahan di sudut undang-undang, pihak polis boleh mengambil tindakan dan mendakwa mereka di mahkamah yang selama ini kedaulatan undang-undang dilihat berjalan.

Mohamad menambah, polis bertanggungjawab sepenuhnya bagi keadaan yang berlaku sekarang dan pada masa akan datang. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru