KUALA LUMPUR: Anda mungkin pernah kehilangan atau tertinggal barangan di lapangan terbang.

Hakikatnya, dengan jutaan penumpang yang menaiki pesawat dan melalui pintu lapangan terbang di seluruh dunia, pelbagai barangan peribadi kadang-kadang tertinggal.

Purata sekitar 1,700 item atau barang tertinggal di KLIA, dari beg hingga cincin pertunangan, dan hanya 26 peratus daripadanya dituntut pemiliknya.

Itulah sebabnya di setiap lapangan terbang ada bahagian “Lost and Found”.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), yang menangani hampir 30 juta penumpang pada tahun lalu, seperti lapangan terbang lain di seluruh dunia, turut melihat pelbagai barangan yang tertinggal oleh penumpang yang pelupa.

Antaranya patung sihir, cincin pertunangan, jam Rolex, wang,telefon genggam, ikan masin, durian, Macbooks, pasport, basikal, peti TV, periuk nasi, cermin mata, kad kredit, MyKad, rokok, beg berjenama, tongkat, dan banyak lagi.

Kini KLIA, seperti dilaporkan The Star, menyimpan 819 barang yang tertinggal dan belum dituntut penumpang. KLIA merupakan antara lapangan terbang tersibuk di rantau ini.

“Pernah seorang lelaki Bangladesh, datang ke sini dan beritahu dia kehilangan seorang teman,” kata Nur Afidah Zahari, 27, seorang staf bahagian “Lost and Found” seperti dipetik The Star. Bahagian berkenaan mempunyai 10 orang kakitangan, dan menerima purata 10 panggilan sehari.

“Waktu lain, saya jumpa beg plastik yang mempunyai patung sihir di dalamnya,” katanya.

Kadang-kadang kata Nur Afidah, ada yang muncul dan mahu menuntut barang kemas, tetapi mereka gagal menunjukkan bukti.

Barang yang tertinggal itu biasanya disimpan selama sebulan.  Tetapi bagi barangan tak tahan lama seperti makanan, akan dibuang selepas tiga hari.

Jika tiada sesiapa yang datang menuntutnya, ia diserahkan kepada Jabatan Kastam atau Jabatan Alam Sekitar untuk dibuang. – Sarawakvoice