Saturday, August 20, 2022

Jangan beri habuan, pangkat kepada  parasit yang menjadi duri dalam daging, kata veteran Umno

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Tindakan bekas Senator Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor keluar Umno untuk kali kedua, mengejutkan banyak pihak.

Tindakan beliau itu disifatkan seolah-olah tidak mengenang budi selepas diberi tempat sesudah menyertai parti itu kembali.

Ezam pernah keluar Umno ekoran krisis politik selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1998.

Justeru, Setiausaha Veteran Umno Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub Umno berkata   individu yang kembali kepada parti setelah memburuk-burukkan parti dan kepemimpinan ketika di luar Umno tidak terus diangkat dan diberi peluang

Beliau berkata, banyak peluang diberikan kepada golongan itu, termasuk tempat, habuan dan pangkat.

Selepas kembali ke pangkuan Umno, Ezam dilantik sebagai Senator Dewan Negara dan bertugas di Kementerian Kewangan.

“Tindakan itu sekali gus menafikan tokoh-tokoh yang setia kepada Umno yang juga berkelayakan. Cukuplah dengan tindakan membalas budi yang boleh merugikan parti seperti itu,”  katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, Umno lebih selamat dengan keluarnya ‘golongan parasit yang menjadi duri dalam daging dalam parti’, kerana berdasarkan pemerhatian Veteran Umno jelas bahawa tindakan mereka yang keluar parti bukan kerana prinsip perjuangan tetapi prinsip peribadi.

Semalam,  Ezam yang pernah menjadi orang kuat Anwar membuat keputusan keluar daripada Umno sekali lagi demi mempertahankan prinsip perjuangannya yang ingin membawa perubahan terhadap negara ini.

“Susuilah anak yang di pangkuan dahulu. Mereka lebih berhak untuk mendapat kasih sayang daripada kera di hutan,” kata  Mustapha.

Beliau juga menegaskan bahawa Umno tidak menanggung sebarang kerugian jika ada anggota yang memutuskan untuk keluar daripada parti itu.   

“Kalau Timbalan Presiden (Tan Sri Muhyiddin Yassin) boleh dipecat dan Naib Presiden (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) boleh keluar Umno, maka siapa sangat (Mohamad) Ezam yang perlu dirasai kehilangannya?.

“Biarlah dia keluar. Malah lagi ramai orang seperti  Ezam yang keluar Umno lebih baik,” kata Mustapha. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru