Hijrah minda rakyat S’wak terbuka dalam toleransi kaum dan beragama — Taib

0
7

BETONG: Masyarakat Islam seharusnya menjadi contoh kepada masyarakat lain dalam menghormati kebebasan beragama dan tidak membezakan-bezakan individu lain semata-mata kerana berbeza pegangan agama  dan berlainan bangsa.

“Kita harus memperjuang hak sama rata antara kaum di negeri ini demi kemajuan Sarawak dan Malaysia,” kata Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berucap di Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sarawak 1438H/2016M di Dewan Sukan Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong pada Ahad.

tun-taib-maal-hijrah_0003

Sambutan Maal Hijrah pada Taib memberi pengertian signifikan dari segi penghijrahan umat Islam di Sarawak seiring dunia moden.

Dari segi penghijrahan minda, rakyat Sarawak dianggap terbuka dalam toleransi dan bersatu menggembleng tenaga membangunkan negeri.

Menurut Taib, dalam sejarah kebangkitan Islam, khalifah berhijrah demi kepentingan pentadbiran untuk membawa kedamaian serta menjaga perpaduan dalam hubungan bermasyarakat rakyatnya.

“Saya percaya dengan semangat toleransi yang tinggi dan sikap saling menghormati menjadi amalan kita, menjadikan negeri ini stabil dan pesat dari sudut pembangunan ekonomi, politik dan sosial,” kata Taib.

Menurut beliau, semangat Maal Hijrah yang diraikan, menunjukkan semua individu, keluarga dan masyarakat setiap lapisan berhak mendapat kebaikan, keamanan dan kesejahteraan dalam amalan bermasyarakat.

Ini semua menurut Taib sesuai dengan semangat hijrah itu sendiri yang mengandungi falsafah transformasi, inovasi dan kreativiti berasaskan nilai mulia dalam masyarakat berbilang kaum.

Taib menggesa agar rakyat terus menjaga perpaduan demi menentukan hala tuju Sarawak untuk menjadi negeri maju.

Berbanding tempat lain di dunia ini, penerimaan  individu berlainan agama di negeri ini unik kerana ia berdasarkan keikhlasan untuk saling memahami dan menjaga hubungan baik sesama manusia.

tun-taib-maal-hijrah_0001

Taib menyampaikan anugerah kepada penerima Anugerah Maal Hijrah tahun ini bagi kategori Keluarga Contoh yang disandang oleh Tuah Junaidi dan Hasiah Bunsu dari Stugang, Lundu.

Manakala Rektor UiTM Kampus Sarawak Profesor Datuk Dr Jamil Hamali, anak kelahiran Sri Aman menerima Anugerah Pegawai Awam Contoh.

Masjid Contoh dan Surau Contoh masing-masing jatuh kepada Masjid Darul Istiqamah, Luak Miri dan Surau Darul Muafiqin, Saratok.

Sekolah Rendah Agama Contoh ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Agama Majlis Islam Sarawak, Bintulu.

Askhairunisa Alwi, siswa Univeristi Malaya dari Jalan Demak, Petra Jaya Kuching dan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Abang Haji Openg, Kuching yang memperoleh semua A dalam mata pelajaran STPMnya menobatkan dia menerima anugerah Pelajar STPM Cemerlang.

Bagi Anugerah Pelajar SPM Cemerlang jatuh kepada siswi International Medical University Kuala Lumpur, Siti Nurfatihah Aidel dari Taman Peony, Jalan Matang Kuching.

Nurfatihah bekas pelajar Kolej Datu Patinggi Abang Haji Abdillah, Petra Jaya Kuching mendapat keputusan cemerlang 7A+ dan 2A dalam SPM. – Sarawakvoice