Saturday, December 3, 2022

Berhijrahlah untuk galas tugas lebih mencabar – Tun Taib

Secara Rawak

BETONG: Umat Islam diperingat akan tanggungjawab mereka akan berubah dari semasa ke semasa mengikut peredaran masa, sesuai dengan amalan para khalifah pada zaman pemerintahan Islam.

Menurut Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud, golongan khalifah pada zaman itu sentiasa berpindah untuk menggalas tugas yang lebih mencabar serta kawasan yang memerlukan lebih banyak perhatian.

“Kita pada hari ini telah pun berhijrah sebagai umat Islam daripada zaman yang kurang maju kepada era yang maju.

“Kita juga telah pun mencapai kemajuan daripada satu keadaan yang lama kepada keadaan yang baru mengikut semangat Islam yang sebenarnya,” katanya semasa menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sarawak Tahun 1438H/2016M di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan di sini, pagi tadi.

Tema sambutan Maal Hijrah pada tahun ini ialah “Ukhuwah Islamiah, Asas Penyatuan Ummah”.

Menurut Tun Taib lagi, kesedaran untuk mengekalkan hubungan yang baik dalam kalangan rakyat beragama Islam dan mereka yang bukan Islam hendaklah sentiasa menjadi keutamaan agar kemajuan negeri dapat dilaksanakan secara teratur.

“Kedudukan negeri yang stabil hasil perpaduan rakyat membolehkan kerajaan membawa pembangunan dengan cepat ke kawasan-kawasan luar bandar.

“Amalan berbaik-baik di antara kaum di negeri ini seperti Melayu, Iban, Bidayuh, Orang Ulu dan Cina yang kukuh mampu menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan negeri.

Jelasnya lagi, sambutan Maal Hijrah yang diadakan di Bandar Betong, adalah contoh proses penghijrahan dan pembangunan bandar yang sedang berkembang.

Kerajaan tegasnya, akan terus menjayakan pembangunan dan kemajuan ke semua kawasan mengikut kemampuan dan peruntukan tanpa mengira di bandar, luar bandar, hulu sungai atau di tepi laut.

“Ini menunjukan konsep hijrah yang diajar dalam Islam telah pun diamalkan oleh umat Islam bersama-sama dengan masyarakat bukan Islam di negeri ini.

“Hasilnya negeri Sarawak akan terus cemerlang dengan adanya kerjasama di antara kaum tanpa mengira agama dan asal-usul masing-masing,” tambahnya.

Mengetuai senarai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah pada tahun ini ialah Hajah Hasiah Bunsu dan Allahyarham Tuah Haji Junaidi bagi Kategori Keluarga Contoh manakala Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Samarahan, Profesor Dato Dr. Jamil Haji Hamali menerima anugerah Kategori Pegawai Awam Contoh.

Masjid Darul Istiqamah, Kampung Luak Miri pula dinobatkan sebagai Masjid Contoh dan Surau Darul Muafiqin Saratok dianugerahkan sebagai Surau Contoh. Sekolah Kebangsaan (A) Majlis Islam Sarawak Bintulu pula dipilih untuk Kategori Sekolah Kebangsaan Agama Contoh, yang antara hadiahnya berupa peruntukan projek pembangunan.

Askhairunisa Alwi pula terpilih untuk Kategori Pelajar STPM Cemerlang dan Siti Nurfatihah Aidel sebagai penerima anugerah Kategori Pelajar SPM Cemerlang. Mereka menerima sebuah plak, sijil, hadiah wang tunai dan bantuan khas Tabung Ibnu Khaldun untuk melanjutkan pengajian ke menara gading. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru