S’wak labur RM2.2 juta anjur Sopma XIX cari bintang lakar semula rekod kejayaan Deaflympics

KUCHING: Malaysia pernah mencatat sejarah cemerlang di peringkat dunia setelah berjaya merangkul beberapa pingat emas, perak dan gangsa pada Sukan Deaflympics serta Sukan Orang Pekak Asia Pasifik.

Mengembalikan kegemilangan tersebut, Kerajaan Negeri selaku tuan rumah buat pertama kali memperuntukkan dana RM2.2 juta menganjur Sukan Orang Pekak Malaysia Ke-19 (Sopma XIX).

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Haji Satem berkata, “Sopma merupakan sukan warga pekak, tertua di negara ini selepas Sukan Malaysia (Sukma),” katanya melalui teks ucapan yang dibaca oleh Menteri Muda Kebajikan dan Kesejahteraan Komuniti, Dr. Abdul Rahman Ismail.

Pada majlis Perasmian Sopma XIX di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di Pending itu, Adenan berkata prestasi harus diperbaiki untuk mengembalikan zaman kegemilangan Sukan Deadflympics.

“Ini masa paling sesuai kita membangunkan prestasi Sopma di peringkat kebangsaan agar era kegemilangan Sarawak dan Malaysia sebagai jaguh serantau dicatatkan semula,” ujar Adenan lagi.

Adenan berharap sukan dwitahunan ini yang mempertaruhkan acara bola sepak, badminton, boling ten pin dan olahraga dapat mengetengahkan atlet terpilih mewakili Malaysia dalam Sukan Daeflympics dan Temasya Sukan Pekak Asia Pasifik.

Adenan turut mengumumkan insentif kejayaan bagi atlet Sarawak; yang berjaya merangkul pingat emas mendapat ganjaran RM5,000, pingat emas kedua RM7,000, pingat perak RM3,000 dan pingat gangsa RM2,000. – Sarawakvoice