Saturday, December 3, 2022

Piala Pidato ASAT Peringkat Negeri Sarawak 2016 sekali lagi terbang ke Kabong

Secara Rawak

KUCHING: Peserta pidato dari Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Leman Kabong sekali lagi melunaskan tugasan yang diamanahkan dengan bergaya apabila berjaya menawan buat kali kedua berturut-turut piala kejuaraan Pertandingan Pidato Bahasa Malaysia Anugerah Seri Asrama Terbilang (ASAT) Peringkat Negeri Sarawak yang berlangsung finalnya hari ini.

Dengan tajuk ‘Budi Bahasa Amalan Mulia’, Mohd Akmal Hamid yang juga merupakan juara tahun lalu menafikan cabaran sembilan pesaing lain ketika berlangsungnya acara berkenaan di Dewan Baruk Redeem Bau.

pidato-kabong

Guru Pengiring, Nazmi Jaafar merangkap jurulatih kepada pemidato berkenaan memberitahu sewaktu pertandingan berlangsung saingan sengit jelas ditampilkan peserta dari Betong, Simunjan, dan Lubok Antu.

“Nasib nampaknya menyebelahi anak didik saya dan dia telah berjaya menyerap tekanan dan cabaran yang ditunjukkan peserta lain.

“Akmal melaksanakan tugasan di pentas dengan cemerlang dan amat yakin serta dapat mengutarakan pidato dengan jelas dan bernas.

“Dia langsung tidak gugup dan membuat penonton terpegun dan memberikan tepukan gemuruh sebaik dia selesai berpidato. Saya amat bersyukur dengan kejayaan ini dan ia juga satu catatan sejarah bagi sekolah kami apabila muncul juara untuk dua tahun berturut-turut,”ujarnya.

Tempat kedua pertandingan jatuhnya kepada peserta dari Kota Samarahan manakala tempat ketiga menjadi milik peserta dari Betong.

Kesemua pemenang menerima hadiah berupa piala dan sijil penyertaan. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru