Thursday, September 29, 2022

Penculikan di Sabah: ATM mahu cari dalang yang bersekongkol

Secara Rawak

KUALA LUMPUR:  Ada sebab untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM)  berasa gusar  dan prihatin terhadap kebimbangan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai kemungkinan ada pihak membocorkan maklumat pengoperasian pasukan keselamatan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) sehingga penculikan kerap berlaku di kawasan perairan terbabit.

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata pihaknya memandang serius  terhadap perkara itu,  dan beliau berharap pihak Esscom mengkaji pandangan  Ahmad Zahid kerana kejadian culik yang berlaku pada Selasa lepas mempunyai banyak kebetulan.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 malam  itu, Ruslan Sarapin, 39, diculik enam lelaki bersenjata api ketika menangkap ikan bersama-sama  dengan 26 lagi anak kapalnya di perairan  terbabit.

Setengah jam selepas kejadian pertama, kumpulan yang sama telah merompak sebuah lagi kapal nelayan yang dinaiki 19 anak kapal di perairan Tungku, Lahad Datu.

Beliau berkata pihaknya perlu menjalankan siasatan terlebih dahulu mengenai perkara itu untuk mengetahui sama ada terdapat dalang yang bersekongkol bagi merancang penculikan.

“Sama ada terdapat pihak bersekongkol atau (penculik) mendapat maklumat dari pihak lain (dalaman), kami akan siasat dahulu perkara itu,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai-Pegawai Kanan ATM dan Majlis Serah Terima Tugas Panglima Angkatan Bersama di Wisma Perwira, Kementerian Pertahanan di sini, Jumaat.

“Kami tidak mahu aktiviti kebocoran maklumat dan lain-lain terjadi dan pihak Esscom sendiri telah menjalankan siasatan mengenai perkara ini,” ujarnya.

Kejadian penculikan untuk mendapat wang tebusan daripada penculik militant Abu Sayyaf menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk terbabit, termasuk para nelayan. Kumpulan berkenaan telah menculik beberapa orang warganegara Malaysia, Indonesia dan negara Barat.

“Pemilik bot secara kebetulan berada atas bot untuk turut serta menangkap ikan ketika insiden itu berlaku, kebiasaannya pemilik bot tidak ikut serta dan pendapat kami (ATM) sudah tentu pihak penculik mendapat maklumat tertentu,” katanya.

Zulkifeli turut mengingatkan anggota tentera yang bertugas di bawah Esscom supaya  mengambil perhatian serius akan perkara itu.

Rabu lalu, Ahmad Zahid  yang juga Menteri Dalam Negeri menzahirkan kebimbangan kemungkinan terdapat pihak yang mendedahkan kaedah pengoperasian pasukan keselamatan Esscom sehingga kes penculikan kerap berlaku di kawasan perairan terbabit.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru