PADAWAN: Polis Padawan sedang memburu seorang pemandu lori yang melarikan diri sejurus selepas terlibat dalam kemalangan yang mengakibatkan seorang lelaki maut berhampiran persimpangan lampu isyarat di Jalan Batu Kitang, dekat sini semalam.

Timbalan Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Deputi Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, kejadian berlaku sekitar jam 5 petang semalam melibatkan sebuah lori dan motosikal jenis Modenas.

ll2

“Berdasarkan siasatan awal, kejadian berlaku ketika kedua-dua pemandu dan penunggang tersebut sedang dalam perjalanan dari arah yang sama dari arah Bau menuju ke Kota Sentosa.

“Bagaimanapun setibanya di lokasi berhampiran persimpangan lampu isyarat itu, kedua-duanya dipercayai bergesel menyebabkan mangsa gagal mengawal kenderaan sebelum dilanggar lori yang membawa muatan tanah tersebut.

Kata Alexson, kesan pelanggaran tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian perut dan dada, sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

Mangsa yang maut kemudian dikenali sebagai Jap Kueh Jam, 51 tahun.

“Pemandu lori itu juga kemudiannya melarikan diri dari lokasi tersebut, dan kini sedang dikesan.

“Kepada mereka yang menyaksikan kejadian tersebut, atau mempunyai maklumat yang berkaitan boleh menghubungi balai polis berkaitan atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Syahidah Abdul Aziz,” jelasnya.

Kes ini kini masih dalam siasatan dan diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Sarawakvoice

ll