Saturday, December 3, 2022

Kempen Presiden AS: Lebih baik Malaysia keluar TPPA

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa kerajaan Malaysia melihat semula status perjanjian Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), mengambil kira bahawa dua calon Presiden Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton dan Donald Trump menyatakan pendirian menolak perjanjian TPPA dalam kempen yang sedang dijalankan oleh dua calon terbabit yang bercita-cita untuk merebut jawatan Presiden AS.

Presiden Mapim Mohd Azmi Abdul Hamid berkata,  implikasi terbatalnya perjanjian tersebut, jika AS sendiri menolak TPPA, walaupun AS ialah pelopor kepada perjanjian itu, adalah besar kerana banyak negara anggota temasuk Malaysia yang telah menandatangani perjanjian itu, sedang meretifikasi undang-undang serta dasar negara masing-masing untuk diselaraskan dengan TPPA.

“Walaupun begitu, kami tetap merasakan bahawa para pelobi pihak korporat-korporat gergasi di Amerika sememangnya tidak akan duduk diam, kerana TPPA sebenarnya adalah perjanjian yang amat menyebelahi syarikat-syarikat besar Amerika,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Mohd Azmi, TPPA dari awal lagi ialah konspirasi yang digerakkan oleh syarikat korporat AS, justeru  mereka tidak hanya mendengar dan mengikuti kempen Presiden Amerika Syarikat yang berlangsung sekarang secara pasif, malah sebaliknya akan memastikan TPPA diteruskan.

Katanya: “Oleh kerana itu, kami berpendapat gerakan rakyat di negara yang menganggotai TPPA yang telah menentang perjanjian itu sewajarnya bergabung dan menghidupkan kembali gelombang untuk menolak dan membatalkan perjanjian TPPA.”

Ujarnya, walaupun Mapim tidak meletakkan keyakinan kepada pendirian Harry mahupun Trump bahawa mereka menolak TPPA, pertubuhan itu tetap berpandangan bahawa jika rakyat bangkit dengan tegas menolak perjanjian yang bersifat ekploitasi itu, TPPA boleh dibatalkan.

Katanya, kerajaan Malaysia perlu mengambil kira perkembangan dari pendirian bakal Presiden AS agar rakyat tidak terus menjadi mangsa kepada sebuah perjanjian yang mengeksploitasi sumber negara.

“Adalah lebih baik kerajaan keluar dari TPPA memandangkan ketidaktentuan ekonomi global serta politik AS yang juga mungkin berubah yang mengakibatkan dasar luar AS akan turut bertukar arah,” ujarnya. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru