Thursday, September 29, 2022

Kanun Amanah persoal, adakah persempadanan semula SPR tepati Perlembagaan Persekutuan?

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Biro Undang-Undang (Kanun) Parti Amanah Negara (Amanah) mempersoalkan adakah rombakan sempadan kawasan pilihan raya dan cadangan persempadanan semula dibuat bertepatan dengan prinsip dan syarat yang diperuntukkan di bawah item 2 (a), (b), (c) dan (d) Bahagian 1, Jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan?

Dalam kenyataan media Kanun kepada Sarawak Voice pada Jumaat, Timbalan Pengerusinya Wan Anwar Wan Ibrahim berkata cadangan persempadanan semula berdasarkan peruntukan Perkara 113, 116 dan 117 Perlembagaan Persekutuan mendapat kritikan negatif rakyat.

“(Ia) menimbulkan syak wasangka dan kesangsian meluas di kalangan pelbagai pihak terutama parti politik yang terlibat secara langsung dalam proses pilihan raya di Malaysia,” kata Wan Anwar.

Menurut beliau, pandangan umum melihat cadangan persempadanan semula itu keseluruhannya menguntung dan menyebelahi serta membantu Umno-Barisan Nasional memenangi PRU14 yang akan datang.

“Bagi menangani isu ini, Kanun akan memberi taklimat khas kepada pasukan peguam Amanah dari seluruh negara dalam tempoh terdekat.

Menurut Wan Anwar, ia sebagai persiapan dan persediaan membuat bantahan cadangan persempadanan semula tersebut selaras peruntukan item 5 Bahagian 2 Jadual Ke-13 Perlembagaan Persekutuan.

Dalam kenyataan media itu, beliau menambah bahawa Kanun sedia memberi khidmat nasihat percuma kepada pihak yang memerlukan bantuan bagi memandu mereka membuat bantahan sehingga selesai proses siasatan tempatan dilaksanakan oleh SPR.

“Kanun mengalu-alukan semua pihak berkepentingan dalam kawasan pilihan raya yang terkesan dengan cadangan SPR itu menghubungi para peguam Kanun di negeri masing-masing selepas sesi taklimat… untuk mendapat khidmat nasihat dan penyelarasan tindakan,” menurut kenyataan media itu lagi.

Kanun turut menyeru SPR agar melaksanakan fungsi dan tanggungjawab mereka seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dengan adil, berkecuali, berhikmah dan bijaksana.

Ia sesuai sebagai memenuhi tugas dan menjunjung titah perintah DYMM Seri Paduka baginda Yang Di-Pertuan Agong yang melantik ahli SPR dengan kriteria mereka boleh mendapat kepercayaan awam sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 114(2) Perlembagaan Persekutuan. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru