Saturday, December 3, 2022

Kanak-kanak “gila bola” berusia 11-14 tahun, sertai ujian Million Dollar Feet Challenge  8-9 Oktober depan

Secara Rawak

KUCHING: Lebih 2,000 kanak-kanak yang berusia 11 hingga 14 tahun di Sarawak berpeluang menyertai program pencarian bakat bola sepak yang akan diadakan pada 8 dan 9 Oktober ini.

Program yang dikenali sebagai Million Dollar Feet (MDF) Challenge ini akan diadakan di Padang C dan Padang D, Stadium Negeri di Kuching bagi mencari pemain-pemain berbakat – lelaki dan perempuan – bagi mengisi slot dua bakat terbaik seluruh negara yang akan dibawa untuk bermain dan “mencuba bakat” selama 10 hari di United Kingdom.

kaki-bola

Menurut Pengasas dan Pengarah MDF, Peter de Krester, dua bakat terbaik ini akan dipilih berdasarkan kebolehan dan kewibawaan, selain penampilan fizikal dan keunikan mereka.

“Mereka kemudian akan diasuh, termasuk diberi peluang untuk menyertai program atau akademi bola sepak yang dimilik oleh kelab-kelab utama Liga Perdana Inggeris.

“Atau jika menolak, kita akan berusaha mendapatkan biasiswa untuk mereka mengikuti program latihan di Amerika Syarikat, Australia dan beberapa negara lain,” katanya katanya pada sidang media di Kuching pagi tadi.

Dengan ditaja oleh Brickfields Asia College, proses pemilihan bakat akan dikendaikan oleh bekas legenda tengah England dan Liverpool, Steve McMahon.

“Kami telah berada di Pulau Pinang pada 24 dan 25 September lalu, dan minggu ini akan berada di Kuantan, Pahang sebelum ke Kuching.

“Pemilihan terakhir akan diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 23 Oktober untuk memilih dua pemain terbaik,” jelasnya lagi.

Katanya, program yang pertama kali seumpamanya diadakan ini amat penting bagi mencari bakat baharu bola sepak negara bertaraf dunia, selain membuka pintu kepada pemain muda Malaysia meningkatkan kebolehan mereka dalam sukan ini.

Sementara itu, Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Abdul Wahab Rahim berkata, pihaknya menyambut baik penganjuran program seperti ini, yang amat sesuai dengan program pembangunan bakat baharunya.

fas-1

“Kerana itulah kita menyokong dan memberi bantuan sepenuhnya kepada penganjur untuk menjayakan pemilihan ini.

Katanya, Sarawak berterima kasih kerana bakat-bakat muda dari negeri ini juga berada dalam radar pemilihan pencarian bakat oleh McMahon ini.

“Mana tahu ada pemain yang hadir dari ceruk pedalaman Sarawak yang memiliki kelebihan dan keunikan yang boleh diketengahkan,” katanya.

Sehubungan itu tambahnya, beliau menyeru ibu bapa dan penjaga kepada kanak-kanak yang “gila bola” dan berusia 11 hingga 14 tahun agar menghantar mereka menghadiri sesi ujian pencarian bakat ini.

“Kita doakan antara yang terpilih nanti, biarlah ada satu daripadanya berasal dari Sarawak,” katanya. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru