SARIKEI: Kegembiraan seorang gadis menyambut ulang tahun ke-13 kelahirannya semalam bertukar tragedi apabila terlibat dalam kemalangan maut, bersama-sama abangnya di Kilometer 436 Jalan Betong-Sarikei-Meradong dekat sini malam tadi.

Menurut Timbalan Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Deputi Superintendan Alexson Naga Chabu, kejadian berlaku sekitar jam 8.23 malam melibatkan sebuah kenderaan Proton Saga, sebuah treiler dan sebuah lori.

“Ketika kejadian, kenderaan Proton Saga yang dipandu mangsa dipercayai sedang dalam perjalanan dari Sibu menuju Spaoh.

“Setibanya di laluan berkenaan, pemandu Proton Saga tersebut berusaha untuk memotong kenderaan treler di hadapannya, tanpa menyedari kehadiran sebuah lori dari arah bertentangan.

Gagal mengelak lori terbabit, menyebabkan pertembungan berlaku dan kenderaan Proton Saga tersebut remuk di kedua-dua bahagian menyebabkan dua beradik tersebut tersepit di dalamnya.

“Kedua-duanya kemudian disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba kemudian,” jelas Alexson.

Sementara itu, menurut Penolong Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Farhan Sufyan Borhan, pihaknya menerima panggilan orang awam sekitar jam 8.28 malam dan sebuah jentera dengan kekuatan lapan anggota dikejarkan ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, yang terletak 6 kilometer dari lokasi.

“Pasukan penyelamat menggunakan hydraulic rescue tools untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum menyerahkan mereka kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurut Alexson, mangsa yang maut kemudian dikenal pasti sebagai Azrul Azzahar Tahir, 24 tahun, yang bertugas di Markas Tentera Darat, Kuala Lumpur, manakala adiknya dikenal pasti sebagai Zulaikha Tahir.

Punca kes katanya, masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Sarawakvoice