Presiden baharu FAS? Tunggu tahun depan – pemangku Presiden

0
10

Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) akan hanya mempunyai nakhoda baharu selepas mesyuarat agung luar biasanya yang dijadualkan pada tahun hadapan.

Pemangku Presidennya, Abdul Wahab Rahim berkata, pihaknya kini sedang dalam proses mengenal pasti beberapa individu yang difikirkan layak dan sesuai untuk menerajui persatuan itu.

“Kita tidak mahu terburu-buru dan kini sedang dalam proses perundingan.

“Kerana itu kita tidak dapat mengumumkan sebarang nama kerana dikhuatiri akan mengganggu proses tersebut,” katanya pada sidang media persatuan itu di Kuching hari ini.

Sidang media tersebut diadakan bagi mengumumkan kerjasasama dan sokongan persatuan itu terhadap penganjuran ‘Million Dollar Feet Challenge 2016’, satu program pencarian bakat dalam kalangan pemain-pemain berusia seawal 11 hingga 14 tahun, yang akan diadakan di Kuching pada 8 dan 9 Oktober depan.

Program tersebut akan dikendalikan oleh bekas pemain tengah Liverpool dan England, Steve McMahon.

Menjelas lanjut, Abdul Wahab berkata, calon Presiden yang bakal dipilih itu kelak hendaklah berkongsi aspirasi dengan kepimpinan baharu persatuan itu, yang turut fokus kepada program-program pembangunan dan bukan hanya kepada pasukan utama.

“Berilah kepercayaan kepada kami dan sokong kami. Insya-Allah keputusan yang akan diperoleh nanti tidak akan mengecewakan,” katanya lagi.

Beberapa nama telah disebut sebelum ini termasuklah Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Abdullah Saidol dan Ahli Dewan Undangan Negeri Layar, Gerald Rentap Jabu. Malah dikhabarkan seorang calon wanita turut tersenarai.

Jelasnya, kepimpinan baharu FAS baru-baru ini telah mengadakan kunjungan hormat dan perbincangan dengan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem dan telah mendapat restu dan sokongan beliau.

“Malah beliau berjanji akan memberikan sokongan tanpa belah-bahagi bagi memastikan pasukan Sarawak akan terus bertanding di peringkat kebangsaan, baik dalam Liga Super, Piala Presiden mahupun kejohanan-kejohanan lain.

“Beliau juga mahukan kita memberikan tumpuan kepada program pembangunan dan akan membantu dari aspek kewangan,” katanya.

FAS memerlukan sekitar RM15 juta ke RM20 juta setahun untuk mengendalikan pasukan-pasukannya yang bertanding di peringkat kebangsaan, dengan kebanyakan kos adalah berkait gaji dan pengangkutan.

Sementara itu, menyentuh pasukan Liga Super yang akan beraksi pada perlawanan terakhirnya pada 22 Oktober depan, Abdul Wahab berkata, penilaian terhadap pasukan tersebut hanya akan dilakukan selepas aksi terakhir tersebut.

“Tiada perbincangan mengenai pertukaran pasukan kejurulatihan diadakan setakat ini, namun ia bergantung kepada keputusan perlawanan itu kelak.

“Seandainya prestasi yang ditunjukkan secara relatifnya adalah baik dan meningkat, kita tidak akan melakukan banyak perubahan dan rombakan.

“Ia tidak adil untuk mereka yang telah beraksi cemerlang,” ujarnya lagi.

Sarawak kini menduduki tangga kelapan liga dengan 21 mata, berkongsi dengan pencabarnya pada perlawanan terakhir tersebut, PDRM FA. – Sarawakvoice