Pemuda Amanah WP gesa kerajaan jangan korbankan lagi peruntukan pendidikan dalam Bajet 2017

0
5

KUALA LUMPUR: Menjelang Bajet 2017 yang dibentang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sekitar sebulan lagi, Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan mendesak kerajaan khususnya Perdana Menteri sendiri merangkap Menteri Kewangan agar tidak lagi mengorbankan peruntukan pendidikan.

Pendekatan sebegini pernah diambil semasa pembentangan Bajet 2016.

Dalam kenyataan media Ketua Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan Mohd Hafiz Habil yang dihantar kepada Sarawak Voice beliau berkata, “berdasarkan Bajet 2016 yang dibentang oleh Perdana Menteri, kerajaan memotong peruntukan untuk IPTA RM1.4 bilion, suatu jumlah yang signifikan dan memberikan implikasi besar terhadap prospek masa hadapan negara.

“Hal ini menjejaskan kualiti pendidikan yang diterima oleh majoritinya di kalangan anak muda.”

Menurut Mohd Hafiz, ketika biasiswa sangat terhad, anak muda tidak mempunyai pilihan melainkan meminjam dengan PTPTN.

Manakala, mengecewakan PTPTN hanya memberi pinjaman bagi membayar yuran pengajian semata-mata, sedangkan wang sara hidup terpaksa “dicari sendiri” oleh pelajar.

“Suatu kisah yang benar-benar berlaku di salah sebuah universiti di Lembah Klang, mahasiswa tidak hadir mengikuti kelas pengajian kerana terpaksa bekerja untuk menyara hidup!” kata Mohd Hafiz.

“Apakah kualiti ilmu yang boleh diharapkan daripada graduan yang tidak hadir ke kelas semasa tempoh pengajiannya?” tanya Mohd Hafiz dan menambah bahawa terdapat mahasiswa yang terpaksa mengikat perut semata-mata tidak mahu meninggalkan kelas pengajian.

Dalam kenyataan media pada Khamis itu, Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan berpendirian bahawa tindakan pembatalan penghantaran mahasiswa atau pelajar pascasiswazah ke luar negara bagi melanjutkan pengajian bukan langkah yang bijak.

Berdasarkan rekod, kerajaan pernah membatalkan penghantaran 744 pelajar ke luar negara pada tahun ini seterusnya mendakwa menjimatkan RM24 juta wang kerajaan.

“Adakah ini kenyataan yang bertanggungjawab daripada seorang menteri sedangkan pelajar yang dihantar ke luar negara merupakan aset dan modal insan yang dapat menyumbang bagi pembentukan Malaysia yang lebih baik?” persoal Mohd Hafiz lagi.

Menurut Mohd Hafiz lagi, keluhan tentang potongan bajet IPTA ini bukan sahaja di kalangan mahasiswa malah pentadbir.

Tan Sri Prof Dr Mohd Amin Jalaludin, Naib Cancelor Universiti Malaya dalam respons awalnya terhadap peningkatan kedudukan UM dalam penarafan IPT dunia daripada 146 kepada 133 pernah menyatakan pemotongan bajet IPT menghilangkan momentum universiti terutama dalam aspek pengantarabangsaan serta pengambilan staf.

Di peringkat sekolah pula, merujuk kepada kenyataan Pengerusi BN Selangor Tan Sri Noh Omar yang mencadangkan agar semua PIBG sekolah di negeri Selangor diwajibkan mengutip dana bagi sekolah masing-masing membuktikan dana daripada Persekutuan sememangnya tidak mencukupi.

Mohd Hafiz menganggap kenyataan tersebut sebagai pelik memandangkan status sekolah yang dicadangkan oleh beliau tidak terhad kepada sekolah persendirian ataupun sekolah swasta semata-mata, bahkan sekolah yang berstatus “bantuan penuh kerajaan”.

Persoalannya, mengapa bajet dipotong sedangkan keperluannya meningkat?

Justeru, Pemuda Amanah Wilayah berpendirian walaupun dalam keadaan ekonomi negara tidak menentu, pendidikan rakyat tidak sewajarnya diperjudi dan dikorbankan.

Mohd Hafiz mengakhiri kenyataannya, “jika Perdana Menteri mendakwa beliau telah menerima 8,352 cadangan rakyat berhubung dengan Bajet 2017, maka saya pasti tidak ada satu pun yang menyokong pengurangan bajet bagi pendidikan.” – Sarawakvoice