Lambang jati diri bangsa

Sesebuah negara yang merdeka dan berdaulat lazimnya memerlukan bahasa, lagu, negara, atau bendera sebagai lambang kemerdekaan dan kedaulatannya. Pengiktirafan dan penerimaan lambang kebangsaan berkenaan oleh rakyat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum, agama, dan budaya di negara berkenaan amat penting dari segi pembentukan negara bangsa. Negara berkenaan perlu menyemai dan mengukuhkan nilai kolektif yang menjadi hak dan ikon bersama. Sesungguhnya, bahasa kebangsaan merupakan wahana simbolik semangat kebangsaan yang paling berkesan.

Negara sebagai kesatuan geopolitik, tidak selalu identik sebagai kesatuan sosiobudaya. Justeru, bahasa kebangsaan bertindak sebagai alat pemersatu, selain untuk menimbulkan kesedaran tentang identiti di peringkat kebangsaan. Bahasa kebangsaan yang diideologikan melalui kuasa politik itu dijadikan sebagai lambang persatuan demi pergerakan rakyat. Alexis de Tocqueville menyatakan, ”ikatan bahasa mungkin merupakan ikatan yang paling teguh dan paling tahan lama yang dapat menyatukan manusia.”

Dalam konteks negara ini, kepentingan bahasa kebangsaan telah mulai disedari oleh Perdana Menteri pertama  Tunku Abdul Rahman yang menyatakan bahawa ”adalah wajar bagi kita sebuah negara membangun berhasrat mempunyai bahasa kita sendiri. Sekiranya bahasa kebangsaan tidak diperkenalkan negara kita tidak akan mempunyai peribadi dan keperibadian – apa yang boleh saya ungkapkan sebagai negara yang tidak mempunyai jiwa dan roh.”

Negara yang tidak mempunyai bahasa kebangsaan ialah negara yang ketiadaan jiwa dan roh. Negara itu pasti akan berhadapan dengan masalah untuk menyatukan penduduknya. Dengan bahasa, nilai dan kepentingan yang berbeza, rakyat akan mudah saling bercakaran.

Pergolakan sosial akan berlaku, dan ini akhirnya akan memudaratkan negara itu dari segi politik, sosial dan ekonomi. Sebaliknya, dengan adanya bahasa kebangsaan sebagai lingua franca, rakyat pelbagai etnik akan dapat disatukan, penduduk pelbagai daerah akan dapat diikat, dan kota dan desa akan dapat dijambatani.

Singkatnya, bahasa kebangsaan dapat menyerap mesra ke dalam seluruh pelosok kehidupan masyarakat, berbanding dengan dialek etnik atau bahasa asing. Bahasa kebangsaan akan dapat dijadikan sebagai alat komunikasi utama, selain sebagai wadah yang mendukung perkembangan ilmu dan pemikiran bangsa dalam segala bidang.

Bahasa kebangsaan ialah lambang kebanggaan kebangsaan dan lambang identiti nasional, maka rakyat negara berkenaan menyemai sikap bahasa yang positif dan menjunjung bahasa itu sesuai dengan tarafnya sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan.

Bahasa sebagai  tunjang penting kebudayaan dan tamadun bangsa sekali gus memperlihatkan tahap kemajuan sesuatu negara. Bagi negara ini, bahasa Melayu merupakan  wahana komunikasi dan bahasa kebangsaan yang mutlak dan paling efektif bagi rakyat Malaysia. Bahasa kebangsaan ialah pendorong dan pemangkin lambang pemersatu, serta berperanan sebagai wadah untuk membina peradaban moden sesuatu bangsa.

Hanya melalui bahasa kebangsaan, sesebuah negara dapat menggambarkan diri sebagai  sesuatu bangsa secara utuh. Kalau tidak, bangsa itu adalah bagai bangsa yang tidak mempunyai wajah. Sesuatu bangsa tidak mungkin wujud dalam tabula rasa atau kekosongan. Bangsa tidak seharusnya hanya menjadi komuniti yang diimaginasikan; sebaliknya bangsa yang mampu mengharungi gelombang cabaran masa depan ialah bangsa yang jitu dan kukuh peribadinya.