KOTA SAMARAHAN: Jeritan anak perempuan menyelamatkan nyawa ibu daripada jerutan anak lelakinya sendiri, manakala rakan anaknya menikam perut si ibu.
Tragedi nekad itu berlaku selepas wanita terbabit menjemput kedua-dua suspek, 15, bersama anak perempuan, 9, dari pusat tuisyen di Desa Ilmu, Kota Samarahan sekitar 9 malam Rabu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata remaja terbabit menjerut leher ibunya, 43, menggunakan tali pinggang.
Manakala rakan suspek turut menikam perut wanita berkenaan menggunakan pisau.
Ketika kejadian, mangsa memandu kereta pulang ke rumah selepas mengambil ketiga-tiga mereka.
“Mangsa yang cuba menyelamatkan diri turut cedera di lengan dan beberapa bahagian badannya akibat terkena pisau tersebut,” kata Dev.
Ketika jiran berhampiran terdengar jeritan anak perempuannya minta tolong, menurut Dev kedua-dua suspek keluar dari kereta dan cuba melarikan diri.
Bagaimanapun, kedua-dua suspek menyerah diri di balai polis dan ditahan polis kota Samarahan pada pagi Khamis.
Mangsa dilaporkan stabil dan dirawat di Hospital Umum Sarawak.
Kedua-dua remaja tersebut direman tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan. – Sarawakvoice